
Jangkitan Covid 19 di negeri Johor berada dalam keadaan serius sejak kebelakangan ini, namun belum ada laporan yang menyebut kemudahan hospital di negeri itu telah mencapai tahap maksimum.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusi KEADILAN Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse, mempersoalkan dakwaan yang beliau terima daripada seorang sahabat menyatakan hospital di negeri itu menentukan pesakit mana yang mempunyai peluang lebih tinggi untuk sembuh daripada Covid 19 dan diutamakan untuk dirawat.
Katanya, baru-baru ini sahabatnya mendakwa ibu mertua beliau yang berumur lebih 70 tahun yang dibawa ke hospital diberitahu pasakit Covid yang lebih muda diutamakan untuk ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
"Jadi timbul beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya. Adakah situasi Covid-19 di Negeri Johor sangat kritikal sehingga timbul masalah kekurangan katil ICU dan tong bekalan oksigen?
"Sekiranya benar, siapa yang mengeluarkan arahan atau pekeliling yang membenarkan pihak hospital atau doktor memilih pesakit untuk dirawat berdasarkan faktor umur? Seolah-olah memberi kuasa kepada doktor atau pembantu perubatan untuk menentukan siapa berhak dirawat?
"Sekiranya pesakit Covid-19 mempunyai kemampuan kewangan atau insurans peribadi, bolehkah mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta?" tanyanya dalam satu kenyataan.
ADUN Bukit Batu itu mengharapkan Menteri Besar Johor dan Exco Kesihatan Negeri Johor dapat menjawab setiap persoalan yang dilontarkan dan memberi penjelasan jujur kepada rakyat.
Sekiranya keadaan negara benar-benar kritikal sepertimana yang dibangkitkan, katanya maka eloki diumumkan sahaja bahawa kerajaan telah gagal mengawal penularan wabak Covid-19 dan kerajaan perlu segera membuat permohonan maaf kepada seluruh bangsa Johor.