top of page

Visi futuristik PMX: Malaysia manfaat AI berasaskan etika, kemanusiaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Dalam dunia yang dikuasai algoritma dan automasi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) muncul sebagai antara pemimpin global yang membawa naratif berbeza, bahawa kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar alat ekonomi, tetapi wahana memperkasa kreativiti manusia, memperkukuh komuniti, dan memperkayakan jiwa.

Datuk Lahirul Latigu
Datuk Lahirul Latigu

Menurut Datuk Lahirul Latigu, Pengerusi AMANAH Sabah, pandangan PMX dalam Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu lalu berkenaan AI dan kemanusiaan mencerminkan kepimpinan Malaysia berani menafsir semula makna kemajuan era digital yang melangkaui zaman, dengan menegaskan bahawa pembangunan teknologi mesti berakar pada etika, empati dan kesejahteraan sosial.


"Teknologi tidak seharusnya menghapuskan nilai kemanusiaan, sebaliknya memperkayakannya. Human-centered technology perlu dijadikan teras kepada dasar pembangunan negara. Ini bermakna setiap kemajuan AI mesti menegaskan tiga nilai asas: etika, empati, dan kesejahteraan sosial.


"Kita mahu membina masa depan di mana teknologi memperkasa manusia, bukan menggantikan manusia.


"Maka, sistem pendidikan, latihan dan dasar sosial perlu menanamkan kefahaman bahawa teknologi hanyalah alat; manusia dan nilai kemanusiaanlah yang menjadi matlamat utama," kata Lahirul kepada Suara Keadilan.


Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri pada sesi intervensi mesyuarat pemimpin-memimpin ekonomi APEC, bahawa peranti dan kecerdasan buatan tidak menentukan takdir manusia, sebaliknya membina masa depan melalui pemerkasaan kreativiti, pengukuhan komuniti dan pengayaan kemanusiaan.


"Pendekatan Malaysia dalam APEC memperlihatkan aspirasi baharu iaitu mahu menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital, berteraskan inovasi hijau dan nilai manusiawi," katanya.


Sementara itu Lahirul berkata, kerjasama strategik Malaysia dalam rangka kerja di persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bersama Korea Selatan membuka ruang besar kepada inovasi rentas sempadan dan integrasi rantaian bekalan di rantau ini.


"Korea Selatan ialah kuasa teknologi utama dunia dengan kelebihan dalam semikonduktor, AI dan tenaga hijau, manakala Malaysia mempunyai kestabilan geopolitik dan tenaga kerja berkemahiran.


"Malaysia pula memiliki kedudukan geopolitik yang stabil, tenaga kerja berkemahiran, dan ekosistem industri yang pesat berkembang.


"Gabungan kekuatan ni berpotensi memperkukuh transformasi ekonomi digital Malaysia, memperluas peluang pekerjaan bernilai tinggi, dan mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan," kata Lahirul.


Menurut beliau, pelaburan besar seperti projek NVIDIA bernilai RM10 bilion untuk membangunkan infrastruktur AI berasaskan tenaga hijau bukan sekadar suntikan modal, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada industri tempatan.


"Pemain industri tempatan mesti merebut peluang ini untuk membina kapasiti sendiri menerusi kerjasama penyelidikan, latihan kemahiran digital, serta membangunkan ekosistem startup AI yang mampu bersaing di peringkat serantau," tambahnya.


Dalam pada itu, kata beliau, unsur nadir bumi (REE) kini menjadi nadi baharu ekonomi dunia dan menjadi bahan asas penting dalam pengeluaran cip, super-magnet dan teknologi hijau seperti kenderaan elektrik.


"Malaysia memiliki sumber nadir bumi yang belum diterokai sepenuhnya. Jika diurus secara telus dan lestari, ia mampu menjadikan negara sebagai pemain utama Asia Tenggara dalam rantaian nilai ekonomi baharu ini," kata Lahirul lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page