Video Azmin 2019 tulen: Polis perlu buka semula siasatan - Asheeq Ali
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengenal pasti sumber yang dirujuk oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkaitan satu video tular pada 2019 yang didakwa mirip Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi (gambar) berkata, pendedahan terbaharu oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu secara langsung telah menyentuh hasil siasatan PDRM ke atas video tersebut pada tahun 2019.
''Lebih mengejutkan lagi, Wan Saiful turut mendedahkan bahawa selepas konvensyen Bersatu tahun lalu, beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik ke atas video yang dikatakan membabitkan Azmin Ali di Sandakan adalah tulen.
''PDRM harus mengenal pasti sumber yang dirujuk oleh Wan Saiful yang kononnya mengesahkan siasatan forensik ke atas video tersebut.
''Jika benar dakwaan Wan Saiful, maka kami menggesa pihak PDRM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak yang terlibat,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Asheeq Ali menegaskan, pendedahan Wan Saiful harus diambil berat oleh PDRM.
Dengan pendedahan seperti itu katanya, PDRM bertanggungjawab untuk membuka semula siasatan terhadap video terbabit dan polis perlu merakam keterangan Wan Saiful berkenaan sumber yang didakwa oleh beliau.
Sebelum ini media melaporkan, klip video tular didakwa membabitkan Azmin itu tersebar pada 2019, dipercayai dirakam dari sebuah hotel di Sandakan, Sabah.
Azmin yang ketika itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi menafikan dakwaan tersebut dan berkata, ia merupakan plot untuk menghancurkan kerjaya politiknya.