top of page

Vape bukan hak individu, mengancam kesihatan generasi muda - Exco AMK

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 14
  • 2 min read

ree

Rokok elektronik atau vape telah menjadi ancaman kepada kesihatan awam terutama golongan anak muda yang menganggap perbuatan menghisap vape sebagai gaya hidup terkini.


Bagi Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Gopiraj Nair, penggunaan vape bukan sekadar isu hak individu sebagaimana tanggapan sesetengah pihak, sebaliknya ancaman serius kepada kesihatan awam.


Oleh itu, beliau membidas kenyataan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj baru baru ini yang menolak cadangan kerajaan untuk mengharamkan penggunaan vape dan rokok elektronik.


"Pandangan ini tidak tepat. Isu vape bukan sekadar hak individu, ia sudah menjadi ancaman besar kepada kesihatan awam dan masa depan generasi muda," katanya dalam satu kenyataan.


Gopiraj merujuk kes seorang pelajar berusia 14 tahun di Perlis baru-baru ini yang dikaitkan dengan penggunaan “mushroom vape” sehingga mengalami halusinasi dan terjatuh dari bumbung sekolah.


Pusat Racun Negara juga merekodkan 76 kes keracunan akibat cecair vape bercampur bahan terlarang sejak 2020, manakala Kementerian Kesihatan melaporkan lima kematian sejak 2019 yang dipercayai ada kaitan dengan penggunaan vape termasuk jenis sintetik.


"Lebih membimbangkan, cecair “mushroom vape” mengandungi dadah sintetik berbahaya yang boleh digunakan dalam apa sahaja peranti vape yang dijual secara bebas. Vape juga dinormalisasikan sebagai “flavour juice” atau “shisha moden” sehingga ramai remaja menggunakannya secara terbuka tanpa segan," tegasnya.


Menurut beliau lagi, hujah PSM yang menyamakan vape dengan gula, obesiti atau alkohol adalah tidak relevan.


"Alkohol tertakluk kepada undang-undang ketat, manakala obesiti dan gula berkait dengan gaya hidup. Vape pula menjadi pintu masuk mudah kepada ketagihan nikotin dan dadah sintetik serta dieksploitasi sindiket," jelasnya.


Sehubungan itu, Gopiraj menegaskan kerajaan tidak boleh berkompromi dalam isu ini.


"Larangan vape adalah langkah penting untuk melindungi kesihatan awam dan menyelamatkan generasi muda daripada ancaman ketagihan," katanya lagi.


Terdahulu dalam kenyataannya, Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, orang ramai sepatutnya mempunyai hak untuk melakukan sesuatu aktiviti walaupun ia tidak baik untuk mereka, selagi aktiviti itu tidak memberi kesan buruk kepada orang lain.


"Negara boleh menasihati dan memujuk, tetapi ia tidak seharusnya memaksa individu untuk hidup sihat dengan menjenayahkan aktiviti itu


"Jadi, mengharamkan vape di ruang awam seperti restoran, pawagam, kereta api dan lain-lain adalah agak adil. Melarang penjualan vape kepada individu bawah 18 tahun juga tidak mengapa.


"Tetapi undang-undang yang menjenayahkan vape walaupun dalam privasi rumah individu atau ruang vape yang ditetapkan, adalah melampaui jangkauan pihak berkuasa kerajaan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page