top of page

Hanya tiga AJK keluar parti, KEADILAN Shah Alam kekal kukuh — Najwan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 57 minutes ago
  • 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Shah Alam menegaskan bahawa kedudukan parti itu di peringkat cabang kekal stabil meskipun timbul laporan mengenai beberapa pimpinan didakwa keluar parti.


Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam, Najwan Halimi (gambar) berkata hasil semakan dalaman mendapati hanya tiga Ahli Jawatankuasa (AJK) cabang yang benar-benar mengesahkan keluar parti.


"Kami mengambil maklum tentang laporan media terkait tindakan beberapa pimpinan KEADILAN Cabang Shah Alam yang telah mengisytiharkan diri keluar dari parti.


"Pihak Cabang telah menjalankan siasatan dan semakan daripada senarai nama-nama di dalam kenyataan media yang mendakwa telah keluar parti itu, dan (kami) mendapati hanya tiga orang AJK Cabang yang mengesahkan keluar parti secara sukarela," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, laporan yang tersebar sebelum ini didakwa tidak menggambarkan keadaan sebenar dan boleh mengelirukan orang ramai.


Dalam masa sama, Najwan mendakwa tindakan segelintir pihak itu dipercayai mempunyai unsur tertentu yang berkait dengan kekecewaan dalam pemilihan parti sebelum ini.


"Kami percaya tindakan kelompok ini didalangi oleh salah seorang Ahli Parlimen KEADILAN yang kecewa susulan kekalahan beliau dalam pemilihan parti bagi merebut jawatan peringkat pusat dan cabang pada tahun lalu," ujarnya.


Beliau turut menegaskan bahawa KEADILAN Cabang Shah Alam tidak akan terjejas dengan sebarang percubaan untuk melemahkan parti dari dalam.


"KEADILAN Cabang Shah Alam kekal utuh dan tidak akan tunduk dengan rencana makar oleh pemimpin yang bersifat gunting dalam lipatan," katanya lagi.


Pagi tadi, tersebar kenyataan bahawa seramai 21 AJK Cabang Shah Alam bersama sebahagian besar pimpinan termasuk wanita mengumumkan peletakan jawatan dan pengunduran daripada parti berkuat kuasa serta-merta.


AJK Cabang Shah Alam itu mendakwa, keputusan berkenaan dibuat ekoran hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti dan ketua cabangnya, Najwan Halimi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page