
Menjelang Pemilihan KEADILAN 2022 persaingan semakin sengit dengan dua tokoh utama parti merebut jawatan timbalan presiden dan setiap mereka mempunyai calon barisan kepimpinan untuk diundi.
Menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, pemilihan parti seharusnya berjalan dengan semangat kekeluargaan dan para anggota harus lebih fokus kepada Pilihan Raya Umum ke 15 berbanding pilihan raya parti.
"Soalan yang semua orang hendak tanya ialah siapakah yang menjadi calon untuk Wangsa Maju? Tiada orang tahu buat masa ini. Tidak kira siapa yang akan menjadi calon di sini, saya meminta semua ahli memberikan sokongan padu dan kukuh kepadanya. Ini bukan perang antara calon kita dengan calon Umno atau calon Bersatu.
"PRU-15 adalah perang antara KEADILAN dengan Umno dan Bersatu. Ia adalah mengenai survival parti, bukan survival calon.
"Jadi saya menggesa anda semua untuk meletakkan perasaan peribadi dan berjuang keras demi mencapai kemenangan untuk parti kita, tidak kira siapa yang akan menjadi calon kelak.
"Membantu kemenangan parti adalah satu mandat kepada kita semua," katanya ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan Cabang KEADILAN Wangsa Maju, semalam.
Menurut Dr Tan lagi, cabaran dalam parti hendaklah dilakukan secara tidak keterlaluan sebagai mana pemilihan lalu dan anggota tidak seharusnya terbawa bawa sehingga menimbulkan sengketa di kemudian hari.
"Pemilihan parti pernah dihiasi dengan pergaduhan dan balingan kerusi, penipuan yang tidak berkesudahan. Tingkah laku tidak sopan ini memalukan parti. Pemilihan kali ini dijangka tegang kerana terdapat pertandingan merebut kerusi Timbalan Presiden.
"Kedua-dua calon yang bertanding merupakan pemimpin berkaliber dan mempunyai pengikut yang baik. Memilih salah satu daripada mereka bukan keputusan mudah.
"Saya fikir persoalan yang paling penting yang perlu ditanya adalah siapakah yang akan berjaya membina semula keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada parti KEADILAN dan siapa yang akan dapat membantu parti memenangi PRU-15.
"Apapun keputusannya, saya berharap semua ahli dapat menahan diri dan tidak membiarkan emosi merosakkan pemilihan kelak. Kita mesti memastikan pemilihan yang adil dan aman," katanya.
Selain itu, Dr Tan juga membangkitkan keperluan Cabang Wangsa Maju mempunyai jentera PACA yang banyak menjalang PRU yang mungkin diadakan pada hujung 2022.
"Pada PRU 14, jumlah PACA kita seramai 480 orang. Untuk PRU 15, kita memerlukan hampir 600 orang PACA kerana pengundi di Wangsa Maju telah meningkat kepada 120,000 orang.
"Bagaimanakah kita akan mendapatkan PACA seramai itu?
"Kita mempunyai 21 ranting dan 9 Sub Zon MPM. Sekirnya setiap ranting dan Sub Zon menyumbang 20 PACA, kita sudah ada 600 orang PACA. Saya amat berharap ahli-ahli kita akan membantu mendapatkan 20 sukarelawan untuk latihan PACA yang akan bermula tidak lama lagi," katanya.
Dalam ucapan itu, Dr Tan juga membariskan projek projek yang akan dilaksanakannya di Parlimen Wangsa Maju.
Projek pertama ialah peruntukan RM 100,000 untuk membantu 500 keluarga miskin di Wangsa Maju pada bulan Ramadan. Setiap keluarga yang terpilih akan menerima RM 200.
Kedua, Majlis Berbuka Puasa bersama semua AJK Surau di Wangsa Maju. Sebanyak 50 Surau terlibat dan sumbangan RM 2000 setiap surau diberikan.
Ketiga, Jelajah Berbuka Puasa dan menyambut Hari Raya. Keempat, bantuan laptop untuk murid yang kurang berkemampuan. Katanya, pejabat beliau telah meluluskan bantuan 200 buah laptop dengan jumlah keseluruhan RM 400,000 bagi murid-murid di Wangsa Maju dan akan diedarkan pada bulan Mei.
