Usul PM ke Jawatakuasa Hak, kebebasan Parlimen, cubaan alih isu
- Suara Keadilan

- Jul 26
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Ketika kerajaan berusaha mengatasi masalah kos sara hidup rakyat dan meningkatkan ekonomi negara, tindakan pembangkang membawa usul merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebadan Parlimen sebagai tidak matang serta mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar dalam negara.
Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar) berkata, usul di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) yang dikemukakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengelirukan Dewan Rakyat dalam isu Pulau Batu Puteh hanyalah gimik politik yang cetek dan tidak berasas.
"Ini satu lagi episod politik tidak matang. Ia menunjukkan pembangkang ketandusan isu konkrit dan hanya mahu meraih markah politik murahan," tegas Fakhrulrazi dalam satu kenyataan.
Beliau berkata keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad adalah berdasarkan faktor perikemanusiaan memandangkan usia beliau terlalu lanjut mencecah 100 tahun. Namun ia bukan bermakna tiada kesalahan dilakukan.
"Kerajaan tetap tegas bahawa keputusan Tun Mahathir menyerahkan Batu Puteh kepada Singapura pada 2018 adalah satu kesilapan besar dan mencabul kedaulatan negara," ujarnya.
Selain itu, Fakhrulrazi juga menegaskan bahawa tuduhan pembangkang terhadap Anwar sebagai campur tangan dalam sistem kehakiman adalah tidak berasas memandangkan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri adalah keputusan Kabinet secara kolektif.
Tambahnya, peranan Jabatan Peguam Negara dalam membuat keputusan pendakwaan juga tidak sepatutnya dipertikai.
"Ia bukan kuasa Perdana Menteri. Beliau hanya menjelaskan pendirian kerajaan. Tuduhan kononnya berlaku campur tangan dalam sistem perundangan adalah tidak berasas," katanya.
Beliau turut membidas pembangkang yang didakwanya lebih cenderung menyerang peribadi pemimpin kerajaan berbanding menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat seperti kos sara hidup dan kemiskinan.
"Daripada menyelesaikan masalah rakyat – kos sara hidup, pekerjaan, kemiskinan dan perpaduan – pembangkang terus menjadikan Parlimen medan polemik tidak membina dan memecah-belahkan rakyat.
"Kami melihat ini sebagai usaha sia-sia dan tidak mencerminkan kematangan politik," ujarnya.
Fakhrulrazi menggesa rakyat dan semua Ahli Parlimen menolak usul yang dibawa oleh pembangkang itu dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi serta mempertahankan kedaulatan negara.
"Politik negara tidak boleh terus dipenuhi dengan helah politik yang menyesatkan rakyat. Kami menggesa semua ahli Parlimen agar kembali fokus kepada membina negara, memulihkan ekonomi dan mempertahankan maruah serta kedaulatan negara," ujar beliau.









Comments