Usahawan Selangor perlu manfaat peluang ketika fasa pemulihan ekonomi
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 2 min read

Golongan Usahawan di negeri Selangor digesa tampil proaktif memanfaatkan peluang perniagaan yang wujud seiring transisi pemulihan ekonomi yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedudukan Selangor sebagai antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara memberi impak menyeluruh, termasuk pembukaan ruang pekerjaan dan perkembangan industri keusahawanan tempatan.
"Kita dalam proses transisi pemulihan yang rancak. Tahun lepas kita merekodkan nilai pelaburan tertinggi dalam sejarah. Ia seharusnya memberi impak keseluruhan kepada rakyat.
"Di sini saya rasa usahawan perlu segera gabungkan nilai kemampuan supaya bukan hanya sekadar menjadi usahawan kecil-kecilan. Kita mahu usahawan ini menjadi pembekal lebih besar kepada sektor sedia ada," katanya semasa menyempurnakan program BizMatch Mega PKNS 2025 Himpunan Usahawan Selangor pada Rabu.
Program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 berjaya menghimpunkan lebih 1,500 usahawan.
Disertai lebih 30 agensi pembiayaan dan keusahawanan, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank, TEKUN Nasional, SME Bank, MARA, Lembaga Zakat Selangor, MATRADE dan SIRIM Bhd, ia sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan perniagaan dan menyediakan akses kepada pelbagai agensi pembiayaan serta keusahawanan.
Pada majlis sama, Amirudin turut melancarkan Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2025 yang dijadual berlangsung pada 28 hingga 30 November ini.
Sementara itu menurut Amirudin, usaha berterusan yang dilakukan oleh PKNS berjaya melahirkan lebih 10,000 alumni usahawan menerusi program pembangunan keusahawanan, akses pembiayaan, bimbingan serta jaringan pasaran yang meluas.
"PKNS merupakan antara agensi yang konsisten dalam memperkasa usahawan. Kita bukan hanya membantu memulakan perniagaan, tetapi juga memberi sokongan untuk mereka terus berkembang.
"Transformasi seterusnya adalah digital — bagaimana usahawan kita boleh beradaptasi dan kekal relevan dalam era perubahan pantas ini," tambahnya.









Comments