Usaha Selangor banteras denggi tunjuk perkembangan positif
- Suara Keadilan

- May 30
- 1 min read

Usaha proaktif dilaksana Kerajaan Negeri Selangor dalam mengawal demam denggi di negeri itu menunjukkan perkembangan positif.
Exco kesihatan awam negeri Jamaliah Jamaluddin berkata, situasi terkini menunjukkan jumlah kes dan kematian akibat wabak itu terus menunjukkan trend penurunan ketara tahun ini.
Menerusi satu kenyataan beliau memaklumkan, sebanyak 519 kes direkodkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-21 (ME21) iaitu dari 18 hingga 24 Mei, menurun 8.3 peratus berbanding 566 kes pada minggu sebelumnya.
Bilangan kematian juga menurun kepada hanya dua kes berbanding 11 kematian dalam tempoh yang sama pada 2023.
"Secara kumulatif, 11,003 kes demam denggi telah dicatatkan di Selangor sehingga ME21 yang menunjukkan penurunan ketara sebanyak 66 peratus berbanding 21,316 kes dalam tempoh sama tahun lalu," katanya dipetik.
Sementara itu tambahnya, jumlah lokaliti wabak aktif juga menunjukkan menurun kepada 190 berbanding 192 minggu sebelumnya, manakala bilangan titik panas turut berkurang daripada 14 kepada 13.
Kawasan paling banyak lokaliti wabak aktif direkodkan ialah Petaling (77 lokaliti), diikuti Klang (55) dan Hulu Langat (34)
"Daerah Petaling kekal mencatat jumlah kes tertinggi dengan 178 kes, diikuti Klang (119 kes) dan Hulu Langat (92 kes).
"Trend penurunan dicatatkan di beberapa daerah utama seperti Kuala Selangor (-24%), Klang (-16.2%) dan Gombak (-15.4%) berbanding minggu lalu.
"Penurunan ini membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan komuniti setempat dalam usaha membendung wabak," tambah Jamaliah.
Beliau bagaimanapun menyeru supaya orang ramai terus berwaspada dan memastikan kawasan kediaman serta persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan Aedes, terutama menjelang musim hujan.









Comments