Usaha jatuhkan kerajaan PMX gagal - Lokman Adam
- Redzuan Shamsudin
- Aug 14, 2023
- 2 min read

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu yang mengekalkan 3 negeri di bawah kekuasaan Pakatan Harapan (PH) dan BN mengakhiri usaha selama 8 bulan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke 10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam berkata, dengan gagalnya Perikatan Nasional (PN) untuk menguasai 2 negeri PH - BN sebagaimana dicanangkan dalam kempen pilihanraya, menyebabkan gabungan itu tidak mungkin lagi boleh memujuk UMNO menyertai mereka.
"Usaha untuk menjatuhkan kerajaan bawah pimpinan Datuk Seri Anwar dengan ini gagal, dan itu pasti.
"PH - BN mendahului jumlah undi diperolehi. Kita mendapat 3,399,472 atau 49.58% dari jumlah undi popular. PN hanya dapat 3,382,466 atau 49.33%. Undi kita (majoriti) 17,000 lebih berbanding PN.
"Satu benda istimewa ialah PN telah kehilangan deposit di 18 DUN. Daripada 245 DUN (bertanding) ada 18 kerusi mereka hilang deposit, maknanya standard sama macam Muda. Rakyat tolak mereka secara total di 18 kerusi.
"Tetapi PH dan BN tidak ada satu kerusi pun mereka ditolak total oleh rakyat. Tiada kerusi hilang deposit.
"Kepada jejaka yang gagal menukar kerajaan sekali lagi, Muhyiddin, Hadi, Hamzah, Shahidan Kassim, Annuar Musa silakan, bolehlah meneruskan kekecewaan," katanya dalam siri soal jawab "Ulasan Pasca PRN Bersama Lokman Adam" di media sosial, malam tadi.
Menyentuh mengenai DAP yang menjadi momokan hebat jentera Pas terutama di Pantai Timur, Lokman berkata, stigma ahli Umno tidak akan bersama DAP tidak sempat dicairkan berikutan kerjasama hanya terbentuk kira kira 8 bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau menyeru ahli UMNO supaya melihat betapa seriusnya pemimpin tertinggi DAP dalam memelihara hubungan antara komponen Kerajaan Perpaduan.
"Ada pemimpin DAP yang celupar contohnya Ramasamy, DAP ambil pendirian tegas gugurkan Ramasamy sebagai calon pilihanraya.
"Tony Pua terima nasib sama. Malah kita lihat dalam satu majlis pemuda DAP, bila video viral (hentam perpaduan) YB Anthony Loke cepat ambil keputusan menggantung keahlian pemuda tersebut. Maknanya DAP serius dalam hal menjaga keharmonian antara semua 19 parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.
"Dalam UMNO pun begitu juga, ada yang telah digantung dan telah dipecat. Mereka terang terang jadi pengkhianat dan jurucakap kepada PN. Rata rata sudah diambil tindakan," katanya.
Dalam pada itu, Lokman melihat kerjasama baharu dengan PH merupakan situasi menang menang.
Katanya, UMNO yang merupakan parti memiliki keahlian Melayu paling ramai dicampur dengan PH yang mendapat 98% sokongan masyarakat bukan Melayu, khususnya Cina boleh menjadi gabungan yang mantap dan menguasai politik pada masa hadapan.
"Dua ini digabungkan, Umno tak perlu takut untuk bertanding di kawasan ramai Cina. PH pula tidak takut nak bertanding di kawasan yang ramai pengundi Melayu
"Apa yang penting kita kena bawa kawan kawan DAP, Amanah, KEADILAN turun bersama, buat program bersama peringkat negeri, cabang, bahagian, DUN dan parlimen.
"Di mana sahaja program dibuat akan libatkan semua orang," katanya lagi.
Comments