top of page

Usaha ADN Taman Templer, projek terbengkalai Apartmen Kristal dimulakan semula

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read
Projek terbengkalai di Taman Templer diberi bafas baharu melalui usaha Exco Anfaal Saari
Projek terbengkalai di Taman Templer diberi bafas baharu melalui usaha Exco Anfaal Saari

Oleh: Azuan Ab Rahman


Penantian pembeli Apartmen Kristal di Taman Selayang Mutiara untuk menyaksikan projek perumahan yang tertangguh lebih 20 tahun digerakkan kembali akhirnya terlaksana hasil usaha berterusan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Anfaal Saari.


Menerusi hantaran di Facebook, Anfaal memaklumkan bahawa isu Apartmen Kristal menjadi antara keutamaan beliau sejak dilantik sebagai wakil rakyat kerana melibatkan hak dan keadilan penduduk yang sekian lama terabai.


"Usaha ini bermula seawal 2 Januari 2024 melalui pertemuan bersama wakil pemilik.


"Alhamdulillah, selepas berbulan-bulan usaha berterusan, perkembangan positif mula kelihatan apabila kerja pembersihan tapak telah dimulakan dan Surat Setuju Terima (SST) turut diterima oleh pihak kontraktor," katanya.


Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata, isu berkenaan telah dibawa ke peringkat Persekutuan pada Mac 2024 menerusi pertemuan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Menurutnya, hasil perhatian serta sokongan Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu, kementerian tersebut telah meluluskan suntikan dana berjumlah RM45 juta bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan.


"Seterusnya, pada April 2025, kelulusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) berjaya diperoleh bagi membolehkan penyaluran dana daripada Jabatan Perumahan Negara kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, sekali gus menghidupkan semula projek ini secara rasmi," tambahnya.


Anfaal menerusi hantarannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk KPKT, Kerajaan Negeri Selangor, persatuan penduduk serta Taskforce Apartmen Kristal yang konsisten memperjuangkan nasib pembeli.


Beliau turut berharap agar projek pembinaan tersebut dapat berjalan lancar mengikut fasa sehingga siap sepenuhnya demi kesejahteraan penduduk terlibat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page