Kemasukan UPKO ke dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) bersesuaian dengan perubahan perjuangan parti itu daripada berasaskan kaum kepada pelbagai bangsa.
Menurut Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, parti yang dipimpin beliau sebelum ini tidak ada bezanya dengan parti perkauman lain seperti Umno, MIC dan MCA. Namun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu, barisan kepimpinan bersetuju untuk menukar hala tuju perjuangan parti berkenaan.
"Hari ini sejarah bagi UPKO, hasrat untuk menjadi ahli PH diterima dan kami sangat gembira kerana perkara ini bukanlah suatu yang difikir kelmarin tetapi telah dipertimbang sejak sepelas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.
"UPKO memang dahulu komponen Barisan Nasional. Sebagai komponen BN kami dari segi pendekatan politik macam Umno. Umno untuk Melayu, MIC India dan MCA Cina, kami ini untuk apa yang dipanggil Pasok Momogun, Kadazandusun dan Murut. Maknanya perkauman.
"Saya sendiri pada PRU 14 menang atas tiket BN. Tetapi apa yang berlaku pada PRU 14 itu adalah satu bentuk Malaysia baru di mana masyarakat majmuk bersatu padu membuat perubahan yang akhirnya telah mengakibatkan kecundangnya BN.
"Secara kebetulan di Sabah tidak ada satu parti pun dapat membentuk kerajaan. BN 29 kerusi, Warisan-PH di Sabah 29 kerusi.
"Cuma apabila parti Star memberi dua kerusi kepada BN mereka dapat kelebihan 1 kerusi. UPKO ada 5 kerusi. Jadi kita buat keputusan, alang-alang perubahan di peringkat pusat berlaku, kita bertindak keluar BN dan membentuk kerajaan bersama-sama Warisan dan PH.
"Apa yang berlaku selepas itu, kita telah menjenamakan UPKO. Kita buang nama Pasokmomogun, Kadazandusun-Murut itu. Maknanya kita tidak mahu lagi jadi parti perkauman," kata Wilfred dalam temuramah khas bertajuk: "Khemah Besar PH #NadiRakyat," malam tadi..
Tambah Ahli Parlimen Tuaran itu, setelah penjenamaan semula berlaku maka kepimpinan UPKO memikirkan untuk parti tersebut berjuang bersama-sama parti-parti seangkatan berbilang kaum yang lain.
Keputusan itu, katanya, telah melalui pelbagai pertimbangan idea dan proses membuat keputusan yang panjang sehinggalah dua minggu lalu apabila UPKO memohon untuk menyertai PH.
"Setelah dijenama semula dan pastikan kita ini dapat pemimpin berwibawa dari semua kaum, langkah seterusnya ialah kita kerjasama dengan parti yang mempunyai aspirasi sama. Kita lihat PKR parti berbilang kaum dengan dipimpin tokoh Melayu, kita ada DAP, kita ada Amanah di sana
"Bagi kita, PH ini adalah merupakan sesuatu (gabungan) yang sesuai bagi kita. Jadi apa yang diputuskan Majlis Tertinggi UPKO pada dua mingu lalu adalah sesuatu yang klimaks kepada proses yang kita lalui sejak Oktober lepas," katanya lagi.
Comments