Kerajaan MADANI kembalikan tapak warisan kepada rakyat - PM
- Suara Keadilan

- 7 hours ago
- 2 min read

Tapak dan bangunan warisan negara tidak wajar menjadi ruang eksklusif golongan elit, sebaliknya perlu berfungsi sebagai platform keterangkuman rakyat, pendidikan dan ekspresi budaya selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan Kerajaan MADANI terhadap pemuliharaan warisan menitikberatkan akses terbuka kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengabaikan aspek penjagaan profesional dan nilai sejarah.
Tambah beliau, usaha memulihara bangunan warisan bukan sekadar nostalgia masa lalu, tetapi langkah strategik untuk memperkukuh identiti, nilai serta kefahaman sejarah negara dalam kalangan generasi akan datang.
"Buat pertama kalinya, kita menyaksikan bangunan warisan dipulihkan dengan penuh perhatian dan kemudiannya dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat. Di situlah terletaknya makna sebenar pemuliharaan," katanya dipetik pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara di Tasik Perdana, Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober lalu, Anwar memaklumkan Khazanah Nasional Berhad memperuntukkan pelaburan sebanyak RM600 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah Seri Negara yang juga dikenali sebagai Carcosa Seri Negara.
Pelaburan di bawah inisiatif nasional Warisan Kuala Lumpur itu untuk memelihara dan memperbaharui lapan bangunan bersejarah utama negara.
Ia termasuk Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa serta Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) yang merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad, Pejabat Pos Lama, bekas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Panggung Bandaraya, bekas Pejabat Ukur FMS dan Muzium Tekstil Negara.
Anwar sementara itu menegaskan bahawa makna kemerdekaan hanya dapat dirasai sepenuhnya apabila warisan negara dituntut semula oleh rakyat.
"Selama ini, bangunan-bangunan ini berdiri sebagai simbol kuasa penjajah dan elitisme.
"..(Kini) ruang ini mesti menjadi milik rakyat — kanak-kanak sekolah, anak muda dan masyarakat biasa — supaya mereka memahami bahawa kemerdekaan dibina atas pengorbanan, perjuangan, keringat dan air mata," tegas beliau.
Untuk rekod, Carcosa dibina oleh Sir Frank Swettenham pada tahun 1896 dan merupakan kediaman rasminya pada 1904.
Bangunan ini menjadi kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British, sedangkan King's House (kini digelar "Seri Negara") merupakan rumah tetamu rasmi bagi tetamu Malaysia yang terpenting.
Carcosa dipulang kepada Kerajaan Malaysia pada 1987.









Comments