Penipu online kaut RM2.7b: Wanita kesepian diperdaya 'love scam'
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Setiap hari tidak kurang 5 hingga 8 panggilan telefon yang tidak bernama penulis terima tanpa mengira waktu. Paling kerap antara pukul 9 pagi hingga 8 malam. Macam-macam nombor yang tertera pada skrin telefon penulis termasuk panggilan antarabangsa.
Panggilan tersebut amat menganggu serta sangat meragukan. Namun terpaksa bersabar dan `matikan diri, keraskan hati’ bagi mengelak untuk menjawab panggilan-panggilan telefon tersebut.
Terus terang penulis curiga dan dapat merasakan bahawa pemanggil tersebut adalah scammer yang sedang mencuba nasib untuk menjerat mangsa-mangsa baharu yang lalai.
Begitulah salah satu cara penulis mengelak daripada dijerat scammer yang 24 jam `bekerja’ untuk memerangkap mangsa dengan tujuan menjarah dana, harta benda juga wang mereka.
Scammer yang licik tidak akan berputus asa dan menggunakan pelbagai cara untuk memperdaya mangsa tanpa belas simpati.
Cara mengelak paling berkesan, penulis sarankan adalah jangan sesekali mencuba menjawab apa-apa komunikasi daripada orang yang tidak dikenali sama ada panggilan telefon atau apa sahaja sapaan yang mengunakan media sosial seperti Facebook dan sebagainya.
Penipuan online semakin membimbangkan
Trend peningkatan penipuan dalam talian atau scam di negara ini semakin membimbangkan. Mangsa yang ditipu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah golongan profesional dan berpendidikan tinggi. Paling mudah dimangsai adalah wanita yang kesepian yang dahagakan kasih sayang.
Wanita kesepian mestipun sudah mencecah usaha emas masih terpukau dengan `ayat-ayat cinta’ si penipu `love scam’ sehingga titik peluh yang dikumpul puluhan tahun lesap sekelip mata.
Jenayah online hanguskan RM2.7 bilion 11 bulan
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, dalam satu kenyataan menyebut, sebanyak 67,735 kes jenayah dalam talian membabitkan nilai kerugian lebih RM2.7 bilion direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman berkata, jenayah telekomunikasi merekodkan kes tertinggi dengan 28,698 kes daripada keseluruhan kes yang dilaporkan diikuti jenayah e-dagang sebanyak 14,881 kes.
"Penipuan pelaburan tidak wujud turut menjadi antara penyumbang utama kerugian dengan mencatatkan 9,296 kes, manakala 8,029 kes pinjaman tidak wujud, 5,853 kes jenayah e-kewangan dan 978 kes ‘Love Scam’ turut dicatatkan.
"Jumlah kerugian akibat pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah tertinggi iaitu lebih RM1.37 bilion, diikuti jenayah telekomunikasi (RM715.7 juta), jenayah e-kewangan (RM458.1 juta) dan e-dagang (RM123.7 juta).
"Selain itu, pinjaman tidak wujud (RM59.1 juta) dan ‘Love Scam’ (RM43.7 juta)," kata kenyataan Facebook rasmi jabatan berkenaan.
Statistik menunjukkan kes dan kerugian meningkat setiap tahun, terutamanya melibatkan mangsa wanita, jadi sentiasa berhati-hati dalam perhubungan dalam talian.
Cara mengelak dan bertindak
Cara mudah untuk mengelak scammer ini adalah i) Jangan mudah percaya; ii) Jangan menghantar wang; iii) Jangan kongsi maklumat peribadi; iv) Jangan terpedaya dengan janji hadiah; v) Dapatkan pandangan orang terdekat; dan vi) Laporkan jenayah hubungi Pusat Panggilan Kecemasan (NSRC) di talian 997.
Pencegahan merupakan cara terbaik kerana sekiranya mangsa telah menyerahkan wang atau barang berharga, kemungkinan untuk mendapatkan semula adalah sukar akibat kelicikan scammer ini yang beroperasi dari luar negara dan dan tidak terikat dengan undang undang Malaysia.





