Pendaftaran undi pos yang sukar dan sistem pendaftaran secara atas talian di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sukar diakses memerlukan tempoh pendaftaran yang tamat hari ini, dilanjutkan.
Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, laporan media yang menyatakan ramai pengundi Johor di luar negara khususnya di Singapura masih belum mendaftar, dan dianggarkan cuma 1% dari jumlah mereka yang mendaftar sejak dua hari lalu mewajarkan SPR menukar fikiran.
"Saya lihat SPR mempunyai peranan yang amat penting terutama dalam memastikan pengundi yang layak mengundi diberikan hak tersebut, termasuk bagi yang berada di luar negara.
"Ini antara tugas hakiki SPR, demi memastikan proses demokratik berjalan dengan lancar.
"Oleh itu, saya gesa pihak SPR segera mengumumkan jumlah sebenar pengundi Johor yang telah mendaftar sebagai pengundi pos, mengikut negara di mana mereka berada
"Saya juga menggesa SPR untuk melanjutkan tempoh pendaftaran, memudahkan proses dan lebih proaktif dalam kempen pendaftaran undi pos termasuk di media sosial," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu lagi, tempoh yang diberikan SPR sebelum ini agak singkat dan dengan tidak dipropagandakan kepada pengundi, maka sambutan pendaftaran undi pos kelihatan dingin.
"Tempoh 9 hari yang telah diberi SPR begitu singkat dan wajar dilanjutkan agar mereka yang layak dan berhak segera mendaftar serta melaksana tugas dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara.
"Dalam keadaan pandemik yang belum reda ini, proses demokrasi tidak harus “dikuarantin” atau dijadikan mangsa kerenah birokrasi," katanya lagi.
コメント