Undi Percaya: Apa yang dibimbangkan PM Ismail Sabri jika ada 114 majoriti - Shamsul



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu bimbang untuk membentangkan usul Undi Percaya di Parlimen ketika beliau dikatakan memilikki sokongan 114 kerusi.


Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, proses Undi Percaya mampu memberi keyakinan kepada rakyat mengenai majoriti yang dimiliki Ismail kerana mereka tidak melihat proses temuduga yang dijalankan pihak Istana Negara sebelum ini.


"Kalau PM merasakan beliau tidak ada masalah sokongan majoriti maka apalah yang hendak dibimbangkan membawa Undi Percaya. Seperti mana disebut ada 114, maka buktikan dalam dewan


"Sebab 114 itu dianggap Ahli Parlimen yang menyokong Ismail hadir ke istana. Kita difahamkan ada yang tidak hadir, sebahagiannya melalui zoom. Itu proses untuk Agong memuaskan hati Baginda bahawa Ismail mempunyai sokongan majoriti, namun itu bukan menjadi tatapan rakyat. Rakyat tak dapat akses perkara ini.


"Rakyat tahu Tuanku panggil, apa berlaku dalam istana rakyat tidak tahu. Namun yang ingin kita lakukan (Undi Percaya) ialah demokrasi berparlimen. Agong menunjukkan kebijaksanaan Baginda meminta pergi ke dewan bentangkan dan tunjuk sokongan majoriti," katanya dalam forum maya anjuran IDE bertajuk: "Sidang Parlimen 13/9/21: Ujian dan Cabaran Untuk Siapa?" semalam.


Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, proses Undi Percaya adalah sesuatu yang perlu dilakukan kerana telah ada duluan oleh dua PM yang lepas.


Apatah lagi, katanya, kali ini telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dianggap tidak wajar hal itu didiamkan begitu sahaja.


"Kalau nak kata tak ada dalam Perlembagaan, tidak penting, bagi saya tindakan duluan pernah ada. Maknanya bukan satu perkara yang pelik untuk melakukan Undi Percaya di dalam dewan.


"Apabila kita melakukan prosiding (usul Undi Percaya) ini maka direkodkan dalam hansard dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang kalau timbul isu seperti ini pada masa akan datang," katanya.


Mengenai spekulasi Yang di-Pertuan Agong bersetuju bahawa Undi Percaya tidak perlu dilakukan, Shamsul berkata hal berkenaan tidak timbul kerana arahan melakukannya dibuat secara kenyataan rasmi, oleh itu sekiranya tidak perlu dibuat maka istana perlu mengeluarkan kenyataan seperti itu.


"Walaupun ada laporan menteri menjaga undang-undang berkata Tuanku kata tidak perlu dan sebagainya, setakat ini saya tidak baca kenyataan media dari istana. Pada saya itu pendapat beliau (menteri).


"Untuk itu wajar PM bawa isu Undi Percaya ini dengan serius. Saya sebagai pembangkang akan terus mengasak PM untuk membuktikan keabsahan beliau.


"Politik negara mesti dilihat kukuh. Itu hanya boleh berlaku jika Undi Percaya dibawa ke Dewan Rakyat. Jika dapat 114 atau 113 sokongan maka teruskan sebagai PM. Jika dapat 109 maka berhentilah sebagai PM," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER