'Undi masa depan Johor, bukan untuk bebas Najib'
- Suara Keadilan

- 8 hours ago
- 1 min read

Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Aidi Amin Yazid (gambar) dengan tegas mengingatkan pilihanraya tidak boleh dijadikan platform mempengaruhi atau mentafsir semula keputusan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau menegaskan bahawa pilihanraya diadakan bertujuan menentukan mandat bagi pembentukan kerajaan dan bukannya referendum terhadap situasi undang-undang atau peribadi mana-mana individu.
"PRN bertujuan menentukan mandat bagi pembentukan kerajaan.
"Pengundi Johor tidak membuang undi sebagai proksi kepada keadaan peribadi sesiapa. Mereka sedang membuat keputusan mengenai tadbir urus," katanya dipetik sebagai respon terhadap kenyataan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib.
Nafizuddin sebelum ini mendakwa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal membawa isyarat sokongan rakyat terhadap Najib, sekali gus mencerahkan peluang beliau mendapatkan pengampunan diraja.
Sementara itu menerusi kenyataan sama Aidi Amin mengingatkan, pengundi muda kini mencari peluang, keadilan serta dasar yang mampu merapatkan jurang ketidaksamaan dan bukannya retorik politik atau perpecahan.
Justeru, pilihanraya sepatutnya memberi tumpuan kepada hala tuju dasar, kredibiliti kepimpinan dan kemampuan parti-parti politik untuk membawa perubahan yang bermakna kepada kehidupan rakyat.
"Kerajaan Perpaduan ditubuhkan demi memberikan kestabilan politik selepas bertahun-tahun berdepan ketidaktentuan dan kekal fokus untuk memastikan kelangsungan tadbir urus melalui agenda Malaysia MADANI.
"Pentadbiran Johor yang bakal diterajui oleh Pakatan Harapan akan memperkukuh penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, sekali gus membolehkan kerangka MADANI dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya.




Comments