Umum projek telah dilulus kerajaan tidak langgar peraturan pilihanraya
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 1 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menegaskan pengumuman projek oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak melanggar peraturan pilihanraya kerana melibatkan projek yang telah diluluskan sebelum ini.
Anwar menjelaskan, mengikut peraturan pilihanraya, pengumuman projek yang telah diluluskan sebelum ini adalah dibenarkan, namun perkara tersebut tidak terpakai bagi projek baharu.
"Ada projek yang telah diluluskan (kerajaan) dalam belanjawan tahun lalu. Kemudian kita tekankan dan ulang (tentang projek) itu, (ia) tidak ada kesalahan daripada segi peraturan pilihanraya.
"Saya (sudah) semak daripada segi undang-undang dan juga kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang akta kesalahan pilihanraya.
"Saya setuju (ianya dijaga) supaya jangan ada salah tafsiran kerana (ada undang-undang) perlu kita patuhi. Undang-undang ini kita luluskan di Dewan Rakyat, jadi kita cuba patuhi," katanya di Parlimen hari ini ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim [PN-Arau] yang membangkitkan isu pengumuman Kor Ming pada 25 Jun lalu iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon berkaitan peruntukan RM2.5 juta untuk pengubahsuaian dan pembaikan di 10 blok di Flat Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.
Anwar menegaskan, sesuatu pengumuman hanya dianggap sebagai kesalahan daripada sudut undang-undang sekiranya ia melibatkan projek atau peruntukan yang tidak terkandung dalam belanjawan yang telah diluluskan atau di luar kerangka kementerian berkenaan.
Namun beliau berkata, pengumuman berkaitan projek atau peruntukan yang telah diluluskan sebelum ini tidak dianggap sebagai satu kesalahan di bawah peraturan pilihanraya.




Comments