Umno perlu nyata pendirian, kekal Kerajaan MADANI atau bersama PN
- Azuan Ab Rahman

- 39 minutes ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menuntut Umno menyatakan pendirian dengan jelas sama ada mahu terus bekerjasama dalam Kerajaan MADANI atau beralih menyokong Perikatan Nasional.
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi (gambar) membuat gesaan itu susulan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menyatakan pandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 wajar diadakan lebih awal
Menerusi satu kenyataan, Nabil menegaskan sekiranya Umno komited bersama kerajaan hari ini, parti itu perlu memikul tanggungjawab hingga tamat penggal. Sebaliknya, jika memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), parti tersebut sewajarnya melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.
"Jangan sampai Umno dilihat satu kaki dalam kerajaan, satu kaki dalam pembangkang. Di negeri berpelukan dengan PN, tetapi di Putrajaya masih mahu menikmati jawatan dan kedudukan dalam kerajaan Madani," katanya.
Sementara itu Nabil dalam kenyataan sama menegaskan, rakyat negara ini tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada percaturan politik.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sekalipun Umno memilih untuk bersama PN, Kerajaan MADANI akan terus dipimpin Pakatan Harapan (PH) bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan-rakan lain akan terus menyempurnakan baki mandat penggal ini.
"Mandat rakyat tidak sepatutnya dijadikan alat tawar-menawar politik dan penilaian terhadap kerajaan wajar diserahkan kepada rakyat apabila tiba masanya pilihan raya.
"Gunakan masa yang ada untuk meneruskan reformasi, memperkukuh ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat," tegasnya.




Comments