top of page

Umno perlu akui kegagalan urus tadbir Tabung Haji, kata Khairy, Shahril

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 4 hours ago
  • 2 min read
Khairy Jamaluddin dalam poscat Keluar Sekejap. Kredit foto: FB Keluar Sekejap
Khairy Jamaluddin dalam poscat Keluar Sekejap. Kredit foto: FB Keluar Sekejap

Umno perlu mengakui secara terbuka kegagalan dalam aspek urus tadbir dan tata kelola Lembaga Tabung Haji (TH) susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai badan berkanun itu baru-baru ini.


Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pendekatan mengakui kelemahan dan kesilapan lampau akan memberi gambaran bahawa parti itu benar-benar bersedia melakukan perubahan serta memulihkan keyakinan rakyat.


"Sebenarnya tiba masanya perlu jujur ada kegagalan kerajaan. Kalau kita ambil pendirian tersebut dan mengakui kelemahan dan kegagalan urus tadbir dan tata kelola dalam Tabung Haji, orang akan kata, sekurang-kurangnya Umno adalah sedikit bibit-bibit perubahan untuk bawa Umno ke arah pemulihan sebab mereka menerima.


"Kita faham masa di Negeri Sembilan [ketika pilihan raya negeri] tak boleh dikatakan.


"Tapi sekurang-kurangnya suara-suara di PAU (Perhimpunan Agung Umno) ada yang kata, kita tak boleh menggunakan alasan-alasan tersebut untuk menyorok perkara itu. Apa yang lemah, kegagalan kerajaan, apa yang salah, mestilah kita akui," katanya dalam podcast "Keluar Sekejap".


Mengulas perkara sama, bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan berkata, pendedahan RCI sepatutnya dilihat sebagai peluang untuk Umno menunjukkan kematangan politik dengan menginsafi kelemahan yang berlaku ketika parti itu menerajui kerajaan.


"Saya harap kerja betul, iaitu ada rakan-rakan kerja dalam Umno yang bersependapat bahawa ini sebenarnya peluang kepada parti Umno.


"Sewaktu tengah menang, gelombang cantik, untuk menunjukkan kematangan dan kesediaan untuk rendah diri, menginsafi segala kekurangan.


"Bukannya mengambil gelombang sedia ada ni sebagai satu bukti bahawa tak perlu reform dan tak perlu minta maaf, tak perlu perbaiki diri, hanya sekadar retorika biasa kerana penyatuan Melayu dan segalanya sudah mencukupi," katanya yang juga bekas Ketua Penerangan Umno.


Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan minggu lalu antara lain merumuskan berlaku pelbagai kelemahan tadbir urus dan campur tangan dalam pengurusan TH sekitar tempoh 2014 hingga 2018 sehingga menjejaskan kedudukan kewangan institusi itu.


Susulan laporan tersebut, kerajaan memaklumkan beberapa syor RCI akan dilaksanakan termasuk memperkukuh tadbir urus TH, memperketat pemantauan institusi itu serta mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku yang dikenal pasti hasil siasatan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page