top of page

UMNO N Sembilan wajib sehaluan UMNO Pusat, sokong Kerajaan Perpaduan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 5 days ago
  • 2 min read

Pendirian UMNO Pusat yang kekal menyokong kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai kunci kepada kestabilan politik nasional, sekaligus memberi jaminan terhadap kedudukan ekonomi dan negara.


Ahli Dewan Negara, Senator Jufitri Joha berkata, kestabilan di peringkat negeri juga penting bagi memastikan proses pentadbiran di semua peringkat tidak terganggu.


"Sebagai contoh sekarang, ketidaktentuan berlaku di peringkat pentadbiran di kampung-kampung. Implikasi besar seharusnya difikir masak-masak oleh UMNO Negeri Sembilan sebelum menarik sokongan.


"UMNO negeri juga wajar berbincang masak-masak dengan UMNO Pusat kerana ia juga melibatkan imej dan kredibiliti UMNO secara amnya.


Senator Jufitri Joha
Senator Jufitri Joha

"Ternyata UMNO Pusat mahukan UMNO negeri terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Beliau diminta mengulas mengenai sokongan yang diumumkan Biro Politik UMNO Pusat untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan yang menyaksikan krisis itu mencetuskan polemik dalam kalangan pemimpin dan rakyat.


Ditanya sama ada penyertaan semula UMNO dalam Kerajaan Negeri mampu memperbaiki imej parti dan mengurangkan risiko kehilangan sokongan khususnya dalam kalangan generasi muda, Jufitri berkata, perkara itu sepatutnya telah dijangka lebih awal berikutan sensitiviti rakyat terhadap ketidakstabilan politik sebelum ini.


Ketua Cabang KEADILAN Rembau itu menegaskan, rakyat dan generasi muda kini mahukan pemimpin yang memberi tumpuan kepada pentadbiran dan menyelesaikan permasalahan masyarakat.


Katanya ketika ini Kerajaan Negeri Sembilan dan rakyat terpaksa berhadapan bukan sahaja krisis Institusi Adat dan krisis tenaga global, malah krisis ketidakstabilan politik.


"Ini juga menyumbang kepada rakyat semakin membenci ahli politik sebegini. Kesannya sudah tentu langsung kepada UMNO secara keseluruhan.


"Rakyat melihat UMNO kembali kepada perangai lama. Ia sudah tentu memberikan imej tidak baik untuk UMNO.


"PH juga baru sahaja cuba membina keserasian mentadbir bersama BN, namun ia musnah sekelip mata," ujarnya lagi.


Pada 3 Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan krisis kepercayaan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO mewakili BN terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ini hampir berakhir.


Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan, penyelesaian dijangka dimuktamadkan menerusi rundingan Biro Politik UMNO dan Biro Politik PH yang dijadual berlangsung minggu depan.


Landskap politik di Negeri Sembilan secara tiba-tiba berdepan ketidaktentuan bermula 27 April lalu apabila UMNO-BN negeri itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin susulan krisis membabitkan Institusi Adat dan Perlembagaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page