Ujian saringan Covid 19 dengan subsidi Kerajaan Selangor berjaya meningkatkan pengesanan kes-kes positif secara bersasar di negeri itu.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ujian bersasar di kawasan padat penduduk dalam seminggu ini telah mengesan beberapa kes positif yang mampu meningkatkan ketepatan data dalam sistem pemantauan Covid 19 Selangor, SELangkah.
Beliau berkata demikian semasa lawatan ke Dewan Kampung Lindungan, Petaling Jaya yang melaksanakan ujian saringan Covid, semalam.
"Ini adalah lokaliti keempat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk program saringan awam bersasar. Untuk kita kenal pasti mereka yang mungkin berisiko tinggi dijangkiti Covid 19.
"Idea dia adalah test, trace and isolate. Sesiapa yang ingin membuat ujian perlu mendaftar dengan SELangkah di rumah. Diikuti dengan saringan dibuat dan tunggu keputusan dalam 20 minit, ujian RTK Antigen. Bila positif kita akan panggil mereka untuk pengesahan ujian PCR. Sistem kita sini merekodkan secara langsung dengan dengan sistem kesihatan nasional bagi memastikan mereka ini dikenalpasti.
"Untuk di sini sahaja hari ini ada 5 kes positif, semalam di Shah Alam kita ada 7 - 8 kes. Purata kes kita dapat kesan secara asasnya sama dengan kadar nasional (nisbah dari jumlah keseluruh).
"Kita jalankan ujian pada hujung minggu, malah pada hari kerja pun ada yang melakukan ujian. Kita ada peruntukan untuk 50,000 ujian," katanya kepada wartawan.
Menurut Amirudin lagi, pada masa hadapan mungkin Kerajaan Negeri akan mengeluarkan jadual lengkap bagi lokaliti-lokaliti yang akan diadakan saringan untuk memuahkan rakyat mendaftar dan pergi ke lokasi.
"Mungkin kita akan keluarkan jadual awal, kita harap rakyat mendaftar dan mengambil kesempatan ini sebab banyak kejadian kes-kes tidak ada simtom. Ia mungkin mendedahkan kepada orang lain di sekeliling. Kalau kita buat saringan ini kita tahu keadaan kita.
"Saya berharap dengan (ujian bersasar) ini data kita akan lebih akurat dalam menangani Covid 19," katanya.
Proses ujian saringan tersebut akan terus dilakukan kerajaan negeri sehingga wabak Covid terkawal.
Rakyat yang ingin melakukan ujian boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah dan kos ujian sebanyak RM50 dikenakan dengan Kerajaan Negeri mensubsidi lebih daripada separuh kos keseluruhan.
Comentarios