Ubah nama himpunan: Pembangkang gagal faham isu, dangkal - Razeef
- Suara Keadilan
- Jun 16
- 1 min read

Tindakan Pas menukar nama himpunan yang dirancang Julai depan daripada “Bantah URA” kepada “Turun Anwar” membuktikan perjuangan parti itu tidak konsisten, kabur serta gagal menarik perhatian rakyat.
Pemangku Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin berkata niat asal Pas untuk menunggang isu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk meraih simpati dan mencetuskan kebencian terhadap kerajaan tidak berjaya.
Rakyat tegasnya tidak mudah termakan taktik pembangkang mencetuskan kebencian terhadap kerajaan.
"Rakyat sudah semakin jelas bahawa cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) membawa matlamat baik dan bukan sebagaimana digambarkan oleh pembangkang.
"Tindakan Pas menukar nama himpunan itu bukti mereka sebenarnya keliru. Mereka kata banyak isu berlaku dalam negara, tetapi tidak dapat jelaskan isu apa," katanya sebagai membidas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden baru-baru ini.
Afnan sebelum ini berkata, himpunan itu ditukar nama antaranya sebagai menyatakan solidariti kepada Yusoff Rawther - individu yang memfailkan saman sivil terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Himpunan Bantah Ura pada asalnya dijadualkan pada 14 Jun, namun Pemuda Pas menangguhkannya susulan penangguhan sidang Dewan Rakyat pada 21 Julai hingga 28 Ogos depan.
Sementara itu, Razeef menegaskan bahawa kerajaan MADANI hari ini bersikap terbuka kepada pandangan dan kritikan bagi menambah baik dasar serta pelaksanaan.
Bagaimanapun, sejak Kerajaan Perpaduan terbentuk pada November 2022, pembangkang gagal memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang berkesan.
"Bukan saja gagal, malah terlalu dangkal. Mereka hanya tahu menimbulkan kebencian terhadap kerajaan kerana kecewa gagal membentuk kerajaan melalui jalan belakang," katanya.
Comments