top of page

TVET: KPT teliti cadangan bina asrama 700 pelajar di Betong

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jun 30
1 min read

Cadangan pembinaan sebuah kolej kediaman bagi menampung pelajar Politeknik Metro Betong Sarawak (PMBS) dan Kolej Komuniti Betong kini sedang diperincikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).


Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim (gambar) berkata, pembinaan kolej kediaman yang dapat menampung sehingga 700 pelajar itu bagi memperluas akses kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di kawasan luar bandar.


Menerusi sesi Kamar Khas Dewan Rakyat pada Isnin, beliau memaklumkan Jabatan Tanah dan Survei Negeri Sarawak telah mencadangkan sebidang tanah milik Persekutuan berkeluasan 8.814 hektar di daerah Batu Api sebagai tapak pembangunan berkenaan.


"KPT akan membuat permohonan tukar guna tanah dan juga kelulusan yang tertakluk pada Jabatan Perdana Menteri sebagai pemilik tanah tersebut.


"Kita mahu isu ini diselesaikan sesegera mungkin," katanya dipetik menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) berkaitan ekuiti pendidikan serta masa depan anak luar bandar di Sarawak.


Beliau turut memaklumkan, sementara menunggu projek asrama dilaksanakan secara berfasa, PMBS telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kediaman dan Penempatan Pelajar bagi menyelaras urusan kebajikan, penempatan dan keselamatan penuntut yang menyewa di sekitar kawasan kampus.


PMBS mempunyai 291 pelajar yang mengikuti program Diploma Kewangan dan Diploma Pengurusan Pelancongan berbanding kapasiti maksimum 600 pelajar.


"Bagi memastikan institusi ini terus berkembang dan menarik minat lebih ramai pelajar, PMBS bakal menawarkan program baharu, iaitu Diploma Sistem Maklumat Perniagaan bermula Sesi 2 2026/2027 pada Disember nanti," kata Adam Adli.


Sementara itu, sebagai mengulas keperluan menaik taraf PMBS kepada sebuah politeknik konvensional, beliau berkata, kementeriannya berhasrat menyelesaikan isu asas berkaitan kebajikan dan tempat tinggal pelajar terlebih dahulu sebelum sebarang pertimbangan lanjut dikemukakan kepada agensi pusat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page