Tutup sekolah: Adakah KPM sudah bersedia atau bercelaru?



Penutupan sekolah di zon merah di seluruh negara oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menimbulkan tanda tanya mengenai tahap persediaan pihak kementerian dan sekolah dalam pelaksanaannya.


Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, penutupan sekolah seharusnya dilaksanakan secara teratur dan tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa.


"Persoalan pokok adalah, setelah berbulan-bulan negara dilanda Covid dan PKP, apakah rancangan sekiranya sekolah ditutup semula sama ada di daerah-daerah zon merah, ataupun jika kita kembali kepada penutupan semua sekolah seperti awal PKP dahulu? Apakah rancangan luar jangka pihak Kerajaan?


"Kita faham, kebanyakan negara tidak bersedia ketika wabak Covid melanda kali pertama namun alasan tidak bersedia tidak boleh digunakan apabila kita berhadapan penutupan sekolah sekali lagi.


"Saya dimaklumkan persediaan sudah dibuat di kalangan pegawai-pegawai KPM. Tetapi adakah ia sudah diluluskan kerajaan dan sekiranya sudah, ia perlu dimaklumkan kepada pemegang taruh termasuk ibu bapa dan pelajar," katanya dalam satu kenyataan.


Kata Nik Nazmi, kerajaan perlu telus dalam proses penutupan sekolah, terutama penilaian dan proses yang digunakan bagi mengisytiharkan penutupan berkenaan.


Menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN Bagi Pendidikan itu, kecelaruan penutupan Institut Pengajian Tinggi seperti yang berlaku baru-baru ini tidak seharusnya berulang di peringkat pendidikan rendah dan menengah.


"Antara persoalan yang perlu dijawab kepada ibu bapa, guru dan pelajar adalah bagaimanakah proses penilaian atas talian untuk peperiksaan percubaan SPM bagi sekolah-sekolah yang ditutup?


"Kita tidak mahu insiden yang berlaku ketika pengumuman saat-saat akhir penangguhan pendaftaran siswa universiti awam berulang untuk pelajar-pelajar sekolah.


"Kita melihat keresahan di kalangan ibu bapa, termasuk di luar zon merah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.


"Oleh itu, pemakluman rancangan luar jangka sangat penting untuk meredakan kerisauan semua pihak," katanya lagi.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio