top of page

Turun Anwar: Tokoh pembangkang resah takut didakwa di mahkamah?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 20
  • 2 min read

ree

Kempen Turun Anwar yang dilancarkan oleh pembangkang dengan kemuncaknya himpunan di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat Malaysia.


Menurut mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar), majoriti rakyat tidak faham apakah tujuan pembangkang mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), setelah gagal melakukannya di parlimen secara undi tidak percaya, kini menggunakan medium tunjuk perasaan jalan raya pula.


Katanya, Pilihan Raya Umum ke 16 hanya berbaki dua tahun dan ianya merupakan jalan sah untuk menjatuhkan seorang PM.


Atau, kata beliau, mungkinkah tokoh utama pembangkang ketakutan menunggu menjelangnya tarikh berkenaan kerana takut didakwa di mahkamah lewat kempen memerangi rasuah yang sedang dilakukan pentadbiran Anwar.


"Persoalan harus ditanya kepada kelompok yang begitu ghairah mahu menjatuhkan Anwar sebelum Pilihan Raya Umum adalah: mengapa tergesa-gesa?


"Apakah tidak boleh menunggu proses demokrasi yang sah melalui PRU? Atau adakah kerana ada yang sudah mula resah dan gelisah kerana jentera penguatkuasaan sedang bergerak ke arah menegakkan undang-undang tanpa pilih kasih?


"Bukan rahsia lagi pentadbiran Anwar mula menjejaki kembali penyelewengan dan salah guna kuasa yang merugikan negara. Kes-kes mega rasuah mula dibuka semula.


"Proses perundangan diberi ruang bebas. Adakah ini yang menimbulkan keresahan sebahagian pemain politik dan elit lama? Mereka tahu bahawa jika diberi masa, reformasi undang-undang ini akan menyentuh rangkaian lama yang selama ini kebal," katanya dalam satu kenyataan.


Kegusaran itu, ujar Fakhrulrazi dijelaskan lagi dengan serangan pembangkang yang membuta tuli ke atas PM yang tidak mempunyai bukti kukuh mengapa Anwar perlu dijatuhkan.


"Malangnya, banyak serangan ke atas Perdana Menteri tidak bersandarkan kepada fakta kukuh, sebaliknya berasaskan “persepsi awam” yang direka dan dimanipulasi.


"Tuduhan berat seperti pengkhianatan, liberalisme, pro-Zionis, menjadi modal politik tanpa bukti. Ini adalah corak politik lama yang menghancurkan negara, membina persepsi kebencian untuk mendapat laba kuasa," katanya.


Selain itu, Ustaz Fakhrulrazi juga kecewa kerana golongan agamawan terutama dalam Pas membenarkan diri mereka dipergunakan untuk kempen menjatuhkan PM yang tidak ada bukti telah melakukan penyelewengan atau melanggar sumpah jawatan sehingga halal untuk dijatuhkan.


"Mereka yang seharusnya menjadi benteng moral dan pendamai masyarakat kini menjadi penyebar andaian dan kebencian.


"Mereka sepatutnya menjadi suara kesederhanaan dan mendidik masyarakat agar menilai dengan akal dan ilmu, bukan emosi dan spekulasi.


"Apakah ini watak para agamawan yang kita impikan untuk membimbing umat dalam era fitnah maklumat?" tanyanya.


Sehubungan itu, Fakhrulrazi mahu rakyat yang waras pemikiran untuk terus mempertahankan kerajaan reformasi dan reformasi institusi yang dibawa PM.


"Agenda reformasi institusi yang dibawa oleh Anwar bukan satu projek peribadi. Ia adalah usaha kolektif untuk memulihkan negara.


"Rakyat harus berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada propaganda yang hanya mahu mengembalikan pemerintahan korup dan menyekat agenda pembaharuan.


"Kita tidak menafikan ruang kritikan terhadap kerajaan, tetapi ia harus dilakukan secara adil, berasaskan bukti, dan dalam semangat memperbaiki, bukan meruntuh," katanya.


Tegas Ustaz Fakhrulrazi, rakyat perlu memberi peluang sehingga habis penggal kepada PMX untuk melaksanakan reformasi pentadbiran.


Mereka tidak seharusnya tertipu dengan lakonan pemimpin pembangkang yang ketakutan skandal kewangan mereka disiasat, sama ada tokoh yang masih muda atau tokoh tua yang telah berpuluh tahun melakukan penyelewengan dan selama ini kebal daripada radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page