Kerajaan Madani tunaikan semua hak Sabah, 15 tuntutan MA63 selesai - PM
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan MADANI kekal komited untuk menunaikan segala obligasi terhadap Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri (PM) berkata, tidak dapat dimungkiri bahawa setakat ini Kerajaan MADANI telah mencapai kemajuan positif dan menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
''Kuasa teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.. terima kasih.
''Sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan antaranya yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah.
''Setelah menyerahkan, Kerajaan Persekutuan masih tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri berkenaan.
''Kerajaan MADANI turut mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Jabatan Bekalan Air (JBA) Sabah sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar lagi, pihaknya juga telah menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan bagi Jabatan Teknik di Sabah sehingga RM50 juta.
Seperkara lagi katanya adalah tentang pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (Akta 53) bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
''Berkenaan pemberian khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah, kajian semula telah dilaksana dan diwartakan pada tahun 2022, 2023 dan seterusnya sehingga 2025.
''Kajian ini adalah sah dan selaras dengan peruntukan 112 Perlembagaan Persekutuan.
''Pertamanya kajian semula telah mengambil kira kedudukan kewangan Persekutuan serta keperluan untuk menampung kos perkhidmatan di Sabah.
''Kedua meliputi tempoh lima tahun dan yang ketiga berkaitan pewartaaan kajian semula telah pun dibentangkan di Parlimen,'' katanya lagi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pada 2019, Kerajaan Sabah telah bersetuju dengan cadangan meningkatkan pemberian khas Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta.
Beliau berkata, kajian semula dibuat pada 2022 dan persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada masa itu dicapai untuk menaikkan pemberian khas kepada RM125.6 juta.
''Di bawah Kerajaan MADANI, kajian semula pemberian khas dilaksanakan pada tahun 2023 dan mencapai persetujuan bersama untuk menggandakan pemberian khas kepada RM300 juta.
''Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi melaksanakan kajian semula dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Sabah untuk menaikkan satu kali ganda lagi pemberian khas kepada RM600 juta ketimbang RM26.7 juta semasa rakan-rakan di sebelah sana (pembangkang) menjadi kerajaan.
''Pembayaran keseluruhan pemberian khas RM600 juta itu juga telah disempurnakan pada 10 September lalu kepada Kerajaan Sabah,'' ujarnya lagi.
Namun pemberian khas itu kata Anwar adalah bersifat interim dan perkara itu disepakati dengan Kerajaan Sabah.
''Ia tidak muktamad sementara Kerajaan Persekutuan dan Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan.
''Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah juga terus meningkat meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api serta perbelanjaan untuk pembangunan,'' jelas Anwar yang juga Presiden KEADILAN.