Turun Anwar: Pembangkang gagal raih simpati rakyat, himpunan tiada solusi
- Suara Keadilan

- Jul 29
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Himpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung pada 26 Julai lalu, secara realistiknya dilihat tidak memberi kesan signifikan terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan mahupun populariti Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Itu pandangan diberikan oleh Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar) kepada Suara Keadilan ketika diminta mengulas perkara berkenaan.
Malah beliau berpendapat, isu-isu yang diangkat oleh penganjur seperti pelantikan Ketua Hakim Negara dan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk menghimpunkan rakyat di Kuala Lumpur tidak mendapat sambutan meluas.
Hal itu kerana, katanya, kedua-dua isu tersebut dilihat bukan keutamaan bagi majoriti rakyat.
''Ketika Kerajaan sedang giat menyelesaikan masalah struktur seperti subsidi bersasar, pembaharuan pendidikan dan pelaburan strategik, rakyat melihat himpunan itu tidak membawa solusi tetapi lebih menjurus kepada gangguan politik.
''Kesannya, isu yang dibawa pembangkang gagal meraih simpati massa kerana tidak selari dengan keutamaan dan aspirasi rakyat hari ini,'' kata Dr Awang Azman kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian mengulas sama ada himpunan jalanan memberi kesan tertentu kepada Kerajaan memandangkan pembangkang berkata mampu mengumpulkan puluhan ribu peserta pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut Dr Awang Azman berkata, rakyat pada waktu ini lebih fokus kepada kos sara hidup yang cuba dikurangkan kerajaan, penciptaan peluang pekerjaan baharu, bukannya isu PSB atau lantikan hakim.
''Rakyat lebih memfokuskan isu seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, kemudahan kesihatan dan pendidikan yang telah pun menjadi keutamaan dalam pentadbiran Anwar.
''Kedua, isu-isu tersebut sudah diselesaikan atau diputuskan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan. Misalnya, pelantikan Ketua Hakim adalah melalui mekanisme yang sah, dan ia turut menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA),'' katanya lagi.
Turut ditanya ialah persoalan sama ada rakyat menerima atau menyokong beberapa isu lain yang diketengahkan oleh pembangkang.
Menurut ahli akademik itu, rakyat Malaysia kelihatannya semakin matang dan mereka berupaya menilai antara isu tulen dengan isu bersifat politik kepartian.









Comments