Turkiye komited bantu bebaskan 9 aktivis Malaysia ditahan Israel
- Suara Keadilan

- Oct 9
- 1 min read

Turkiye menyatakan komitmen untuk membantu usaha membebaskan sembilan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) warga Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menerusi Menteri Luar negara nya, Hakan Fidan, kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi.
"Sahabat saya Erdogan baru beri mesej melalui menteri luarnya sampaikan kepada Datuk Mohamad Hasan, insya-Allah Turkiye akan terus bantu sembilan (aktivis FFC) itu," kata Anwar dipetik.
Untuk rekod, sembilan kapal dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) diserbu tentera Israel sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia pada Rabu.
Antara yang ditahan ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Mohd Afandi Salleh.
Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan mengecam tindakan tersebut dan menuntut agar semua tahanan dibebaskan serta-merta tanpa syarat.
Malaysia turut mendesak supaya Israel menghormati hak sukarelawan kemanusiaan serta memastikan keselamatan dan maruah mereka terpelihara setiap masa.
"Semua perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan telah melaksanakan penyelarasan rapi dengan kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan.
"Serangan terhadap misi kemanusiaan yang aman di perairan antarabangsa jelas merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan dan hak asasi manusia," tegas kenyataan itu.









Comments