Turath Islami Selangor kembali, rakyat berpeluang hadiri pengajian kitab
- Suara Keadilan

- Jul 12
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor meneruskan usaha menyemarakkan pengajian kitab Islam secara tradisional melalui penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 yang kini memasuki edisi ketiga.
Festival selama lapan hari bermula hari ini hingga 19 Julai itu berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam akan mengetengahkan pelbagai pengisian ilmiah untuk pengunjung.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) dalam satu hantaran di Facebook menyeru umat Islam, khususnya warga Selangor, untuk hadir memeriahkan acara sambil mengambil manfaat daripada majlis ilmu tersebut.
"Muslimin dan muslimat dijemput hadir ke Majlis Perasmian Festival Turath Islami Selangor 2025 dengan tema kita tahun ini iaitu Mendalami Khazanah Warisan Islam.
"Bersama-sama kita imarahkan majlis ilmiah ini dan moga dilimpahi keberkatan sepanjang acara," katanya.
Acara tahun ini memberi tumpuan kepada sesi bacaan dan kupasan kitab, penjelasan tafsir surah terpilih daripada Tafsir Jalalain, munaqasyah ilmiah bersama ulama antarabangsa dan nusantara serta syarahan perdana.
Antara tokoh ulama tersohor yang hadir memimpin pengajian termasuk Mufti Muhammad Taqi Usmani; bekas Mufti Agung Mesir, Al-Imam al-Allamah Dr Ali bin Jum’ah; ulama tafsir Maghribi, Syeikh Mustafa al-Bahyawi; serta bekas Rektor Universiti Qurawiyin, Syeikh Muhammad al-Ruki.
Turut bersama ialah Dekan Cambridge Islamic College, Syeikh Mohammad Akram al-Nadwi selain tokoh-tokoh ulama Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Memeriahkan lagi festival, pameran khas bertemakan Funduq: Legasi Kebitaraan Alam Melayu turut diadakan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor sehingga 20 Julai.
Pameran ini menampilkan sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun termasuk karya tokoh utama pesantren Langitan, Kiai Haji Ahmad Sholeh dan pendiri Nahdlatul Ulama, Kiai Haji Hashim Asy’ari.
Sebagai rekod, FTIS mula dianjurkan pada 2023 sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam memantapkan pengisian kerohanian umat Islam.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.turathislamiselangor.com.









Comments