Tuntutan Pas TKM1 letak jawatan sebelum siasatan selesai pramatang - Zainuddin
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Tuntutan Pas Pulau Pinang supaya Timbalan Ketua Menteri I (TKM1) meletakkan jawatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengurusan institusi agama Islam negeri disifatkan sebagai pramatang dan tidak berasaskan prinsip keadilan.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Pulau Pinang, Zainuddin Mohamed (gambar) berkata, tuduhan yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz adalah serius, namun perlu ditangani berasaskan fakta dan proses undang-undang, bukan retorik politik.
"Tuntutan Ustaz Muhammad Fawwaz agar TKM1 meletakkan jawatan sebelum sebarang dapatan siasatan dikeluarkan adalah pramatang, malah bercanggah dengan prinsip keadilan yang dituntut oleh Islam sendiri.
"Dalam sebuah negara hukum, seseorang tidak boleh dihukum atau dipaksa berundur hanya berdasarkan dakwaan dan persepsi awam tanpa sebarang pembuktian yang sah melalui siasatan atau proses perundangan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, berdasarkan kenyataan rasmi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta penjelasan terbuka TKM1 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, semua keputusan berkaitan zakat, wakaf dan pengurusan institusi agama dibuat melalui mekanisme serta jawatankuasa yang sah selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
"Keputusan-keputusan tersebut tidak dibuat secara individu atau sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui proses penilaian, siasatan dan kelulusan secara kolektif oleh jawatankuasa yang ditetapkan," ujarnya.
Tambah beliau, MAINPP juga telah mengumumkan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu sebarang siasatan yang dijalankan.
Kata beliau, kenyataan tersebut dengan jelas menafikan dakwaan bahawa wujud usaha menghalang siasatan, melindungi mana-mana individu atau menggunakan kuasa untuk mengelak penelitian undang-undang.
"Dalam kerangka tadbir urus yang baik, kerjasama penuh dengan pihak berkuasa adalah petunjuk keyakinan terhadap proses undang-undang, bukan tanda kesalahan."
Zainuddin turut mempersoalkan konsistensi pendirian Pas dalam isu berkenaan dengan merujuk kepada kes terdahulu melibatkan pemimpin parti itu sendiri.
"Dalam kes Menteri Besar Perlis yang disiasat SPRM, pimpinan tertinggi Pas menyatakan bahawa siasatan tidak bermaksud bersalah dan tiada keperluan mendesak peletakan jawatan. Prinsip tersebut wajar diterapkan secara konsisten, bukan berubah mengikut parti atau individu," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang kepada proses siasatan berjalan secara bebas dan adil tanpa tekanan politik yang boleh menjejaskan integriti institusi agama dan keyakinan masyarakat.
"Islam mengajar kita supaya berlaku adil, menuntut bukti sebelum menghukum, dan menolak kezaliman, walaupun ia dibungkus dengan bahasa agama," katanya lagi.









Comments