top of page

Pertikai kewibawaan: Pas perlu mohon maaf kepada warga UIAM - Azli

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read


Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam kenyataan Setiausaha Agung Pas yang mempertikai kewibawaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam menjalankan kajian berkaitan cadangan Pilihanraya Datuk Bandar Kuala Lumpur.


Pengerusi Biro Pendidikan dan Pemerkasaan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof (gambar) berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah dilihat merendahkan martabat institusi pengajian tinggi awam yang telah berkhidmat kepada negara lebih empat dekad.


"UIAM bukanlah sebuah universiti yang terlalu “junior” seperti didakwa, sebaliknya telah ditubuhkan pada tahun 1983, menjadikannya sebuah institusi pengajian tinggi awam yang telah berkhidmat lebih empat dekad kepada negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, UIAM diiktiraf sebagai antara pusat rujukan utama di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya dalam bidang perundangan, tadbir urus dan dasar awam.


"Tindakan mempertikaikan UIAM ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan sikap politik yang anti-ilmu, anti-akademik dan anti-wacana berfakta.


"AMANAH menegaskan bahawa kajian akademik dijalankan berasaskan kaedah saintifik, kerangka analisis dan kebebasan akademik, agar ia bebas dari arahan atau kecenderungan mana-mana pihak berkepentingan," tegasnya.


Azli turut mempersoalkan konsistensi pendirian Pas dalam menerima dapatan akademik.


"Kenyataan SU Agong Pas ini menimbulkan persoalan sama ada Pas hanya mengiktiraf kepakaran akademik apabila ia menguntungkan mereka, dan menolaknya apabila tidak. Sekaligus menimbulkan keraguan terhadap reputasi institusi akademik yang dihormati," ujarnya.


Beliau menambah, merendahkan martabat universiti awam sebelum kajian bermula hanya menguatkan persepsi bahawa ada pihak yang takut kepada fakta, data dan perbahasan terbuka.


"Isu Pilihanraya Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah isu reformasi tadbir urus bandar yang serius dan memerlukan perbincangan matang serta berfakta, bukan polemik politik sempit," katanya.


Sehubungan itu, tegas Azli, Pas perlu menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada warga UIAM.


"AMANAH menyeru Pas agar menarik balik kenyataan tidak berasas tersebut dan memohon maaf kepada warga UIAM, menghormati peranan institusi ilmu serta kembali berpolitik secara bertanggungjawab, beretika dan berasaskan fakta," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page