top of page

Pengganti Presiden: Cadangan terlalu awal, hormati struktur parti – Jimmy Puah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 minutes ago
  • 2 min read


Cadangan menamakan pemimpin tertentu sebagai pengganti Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang disifatkan sebagai tidak bersesuaian dibangitkan pada waktu ini.


Naib Pengerusi KEADILAN Johor yang juga Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (gambar) berkata, parti sudah mempunyai struktur dan institusi kepimpinan yang jelas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden serta Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi parti.


"Saya berpandangan bahawa cadangan menamakan pemimpin tertentu sebagai pengganti Presiden KEADILAN yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang adalah kurang manis dan terlalu awal memandangkan parti sudah pun mempunyai struktur dan institusi kepimpinan yang jelas," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, prinsip utama perjuangan KEADILAN sentiasa berpaksikan kepada penghormatan terhadap suara dan keputusan yang dibuat oleh akar umbi.


"Semua pihak tidak kira siapa wajar menghormati institusi kepimpinan sedia ada dan mengelakkan polemik yang boleh mengganggu kestabilan serta fokus gerak kerja parti," ujarnya.


Jimmy Puah menegaskan bahawa isu berkaitan kepimpinan masa hadapan tidak wajar dibangkitkan buat masa ini dan sebarang keputusan kelak harus diserahkan kepada akar umbi apabila tiba masanya.


"Apabila tiba masanya kelak, biarlah akar umbi membuat pilihan dan pimpinan tertinggi pula akan melaksanakan amanah berdasarkan mandat tersebut," ujarnya.


Dalam pada itu, beliau menyatakan persetujuan bahawa Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli wajar terus diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan dan kritikan, khususnya berkaitan isu yang melibatkan kepentingan rakyat.


"Saya setuju dengan pandangan bahawa Saudara Rafizi Ramli selaku Ahli Parlimen wajar terus diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mahupun kritikan khususnya berkaitan isu-isu yang melibatkan rakyat.


"Contoh kritikan yang relevan seperti isu tunggakan bayaran balik cukai, isu ekonomi dan lain-lain adalah penting bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa ditambah baik demi kepentingan rakyat," katanya lagi.


Hassan dalam tulisannya semalam mencadangkan sekiranya KEADILAN menang dan jadi kerajaan lagi selepas Pilihan Raya Umum ke 16, maka Datuk Seri Anwar akan menjawat Perdana Menteri Malaysia, Rafizi menjawat Presiden KEADILAN dan Nurul Izzah sebagai timbalannya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page