Kumaresan hadiri taklimat pembangunan tanah libatkan penduduk kampung
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan baru baru ini menghadiri sesi taklimat di Pejabat UDA Holdings Berhad, Bertam bagi mendengar pembentangan cadangan pembangunan tanah di Kampung Sungai Nibong Kechil MK13.
Sesi tersebut turut dihadiri wakil penduduk kampung serta wakil Masjid Al-Ittifaq, bagi memastikan maklumat yang disampaikan dapat difahami secara menyeluruh oleh komuniti terlibat.
Taklimat berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi UDA Land North Sdn. Bhd., Ir Shahrul Arizan Mohamad Adnan yang membentangkan perincian cadangan pembangunan serta hala tuju projek di kawasan tersebut.
Menurut Kumaresan, beliau selaku wakil rakyat kawasan telah mengemukakan beberapa pandangan dan input bagi memastikan perancangan pembangunan itu mengambil kira kepentingan penduduk setempat.
"Saya menegaskan bahawa sebarang rundingan bersama penduduk perlu dilaksanakan secara holistik dan inklusif.
"Kepentingan penduduk kampung mesti dijaga secara menyeluruh, khususnya dari aspek kesejahteraan komuniti," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menekankan bahawa proses pembangunan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada aspek fizikal dan komersial semata-mata, sebaliknya perlu mempertimbangkan impak sosial serta kesinambungan kehidupan komuniti sedia ada.









Comments