Tun M lapor polis ke atas PMX: 'Gimik politik tidak relevan, skrip lama'
- Suara Keadilan

- 15 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Mantan Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang lalu.
Bagi Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar), rakyat Malaysia sekali lagi disajikan dengan ‘skrip lama’ daripada seorang tokoh yang sudah lama kehilangan kerelevanan dalam arena politik melalui episod terbaharu ini.
Katanya, berdasarkan laporan itu Mahathir mendesak pihak berkuasa menyiasat Datuk Seri Anwar atas dakwaan melakukan sabotaj ekonomi dan penggadaian kedaulatan negara menerusi pemeteraian perjanjian ART dan Tun M segera diangkat sebagai hero.
"Seperti dijangka, sesetengah portal gosip politik yang condong kepada Dr Mahathir segera melabel laporan itu sebagai ‘bersejarah’, seolah-olah rakyat Malaysia tiba-tiba lupa rekod panjang beliau dalam melodrama politik.
"Bersejarah? Dalam bentuk terbaiknya pun, ia hanyalah sebuah pertunjukan memalukan diri sendiri.
"Dalam laporannya, Dr Mahathir mendakwa PMX bertindak tanpa mengambil kira kepentingan negara sepenuhnya dan perjanjian itu akan menggadaikan Malaysia kepada pengaruh asing.
"Seperti biasa, beliau menyampaikannya dengan wajah serius seolah-olah beliau sendiri tidak pernah bertahun-tahun memulas naratif negara demi memenuhi fantasi politik peribadinya," bidas Lokman dalam satu muat naik di Facebook.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menambah, kini Dr Mahathir menuntut tindakan polis bukan sahaja terhadap PMX, malah terhadap pegawai MITI, Peguam Negara dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam rundingan perjanjian tersebut.
"Inilah buku skrip Dr Mahathir yang sama, apabila terhimpit oleh warisan kegagalan sendiri, cipta krisis nasional dan tuduh pihak lain sebagai pengkhianat.
"Namun, beliau masih cuba tampil sebagai kononnya benteng terakhir kedaulatan negara," katanya lagi.
Perjanjian ART dimeterai oleh kerajaan bagi mengurangkan tarif 25 peratus yang dikenakan kerajaan AS ke atas produk dari Malaysia yang masuk ke negara itu.
Dengan ART, tarif dikurangkan kepada 19 peratus dan produk Malaysia masih boleh bersaing. Tanpa ART dijangka sejuta akan kehilangan pekerjaan di Malaysia kerana AS adalah rakan dagang terbesar negara ini dan usaha untuk mencari pasaran baharu menggantikan AS akan memakan masa bertahun tahun.
Tun M dalam alasan mengapa beliau membuat laporan polis berkata, perjanjian ART tidak sah sekiranya hanya melibatkan PM, ia seharusnya melibatkan persetujuan empat entiti utama iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat, Majlis Raja-Raja, dan badan eksekutif.
Cadangan Tun M itu merupakan sesuatu yang belum pernah dilakukan dalam perjanjian antarabangsa malah sewaktu era beliau menjadi PM selama 22 tahun sekali pun.









Comments