Tulisan Yusoff Rawther pro Israel: NGO, ahli politik lapor polis
- Suara Keadilan
- Jun 18
- 2 min read

Tulisan Muhammad Yusoff Rawther - individu yang memfailkan saman sivil ke atas perdana menteri - yang menyokong Israel terus menerima tentangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik negara ini.
Hari ini sekumpulan enam NGO dan ahli politik membuat laporan polis terhadap Yusoff meminta pihak polis melakukan siasatan ke atas tulisan beliau “One Malaysian, Standing with Israel” yang disiarkan media Israel.
Salah seorang yang tampil dalam sidang media petang ini, Ketua Cabang KEADILAN Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, kerajaan tidak boleh bertolak ansur terhadap Yusoff yang didakwa sesetengah pihak sebagai membawa agenda Israel ke negara ini.
"Kita tidak menuduh secara sembarangan. Jika dakwaan tersebut benar, maka ia wajar diambil tindakan sewajarnya.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana individu yang menyokong agenda rejim Israel," kata beliau dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol berkata, tulisan Yusoff masih boleh diakses di laman web pro Israel dan terus mencoreng nama baik Malaysia di mata dunia Islam.
"Kenyataan yang dibuatnya itu masih boleh diakses dan dibaca umum di dalam portal media antarabangsa Israel sehingga hari ini.
"Kami berharap PDRM menjalankan siasatan yang menyeluruh dan tuntas terhadap Muhammed Yusoff," ujarnya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.
Menurut beliau tulisan Yusoff bukan sahaja bercanggah dengan pendirian rasmi Malaysia malah membuka ruang terhadap kemungkinan pengaruh asing dalam negara.
Justeru, beliau mempersoalkan sama ada Yusoff bekerja dengan pihak asing untuk membawa masuk agenda Yahudi.
"Negara itu (Israel) tidak pernah kita iktiraf, malah ditolak keras oleh majoriti rakyat Malaysia atas jenayah kemanusiaan yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin," kata Dzul Hilmi lagi.
Comentários