top of page

Tujuh inisiatif Felda bakal bawa limpahan ekonomi kepada peneroka

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 10
  • 2 min read
Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. Foto kredit: Utusan
Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. Foto kredit: Utusan

Pengumuman tujuh inisiatif kepada peneroka Felda dijangka membawa limpahan ekonomi kepada komuniti setempat sekali gus membentuk ekosistem luar bandar lebih dinamik.


Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata inisiatif tersebut berpotensi memperkukuh industri sawit negara dan menyokong pembangunan kawasan tanah rancangan secara lebih menyeluruh.


"Bagi industri sawit, keputusan mengembalikan model penjualan minyak sawit mentah kepada sistem asal amat signifikan,ia dijangka meningkatkan pulangan kepada Koperasi Permodalan Felda (KPF), sekali gus memberi manfaat kewangan tambahan kepada peneroka.


"Apabila pendapatan sektor sawit meningkat, peneroka akan mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk melabur semula dalam ladang masing-masing melalui penggunaan benih berkualiti, peningkatan mekanisasi, penggunaan teknologi pertanian serta amalan pengurusan yang lebih cekap," katanya dipetik laporan media.


Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh inisiatif baharu sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA.


Inisiatif dengan peruntukan RM2 bilion itu merangkumi bantuan kepada Felda, perumahan generasi baharu, manfaat kepada warga peneroka melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF), perumahan petugas Felda, literasi digital, pendidikan dan kesihatan.


Peruntukan itu termasuk RM990 juta bagi membiayai semula pinjaman Sukuk FELDA serta penghapusan hutang peneroka.


"Peruntukan bagi membiayai bayaran balik pinjaman termasuk penghapusan hutang peneroka berpotensi meningkatkan produktiviti secara mampan serta membolehkan peneroka mempunyai aliran tunai yang lebih baik.


"Dana yang sebelum ini digunakan untuk pembayaran hutang boleh disalurkan kepada penyelenggaraan ladang, pembelian baja, penggunaan teknologi baharu serta usaha meningkatkan hasil tanaman. Keadaan ini membolehkan produktiviti ladang ditingkatkan secara berterusan," tambahnya.


Dr Ahmed Razman sementara itu berkata, penyelesaian projek perumahan generasi baharu Felda mampu menarik generasi muda untuk terus menetap dan membangunkan kawasan Felda.


Malah langkah tersebut dapat memberi manfaat kepada sektor pembinaan, khususnya projek perumahan yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada kontraktor, pembekal bahan binaan, sektor pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page