Tuisyen Rakyat: Selangor perkenal modul AI untuk subjek sains, matematik
- Suara Keadilan

- Aug 30
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk memperkenalkan program baharu pembelajaran sains dan matematik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, langkah memperkenalkan modul tambahan itu melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bertujuan meningkatkan kefahaman dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran tersebut.
"Sebagaimana Tuisyen Rakyat yang kita adaptasi, kita juga akan melaksanakan intervensi menyeluruh dalam sains, teknologi dan matematik. Supaya pencapaian pelajar meningkat, kefahaman mereka bertambah baik, dan akhirnya menjadi asas kepada pembinaan sebuah bangsa pencipta menjelang 100 tahun Malaysia
"Modul tambahan itu akan disertakan dengan latihan khusus kepada guru bagi memastikan penyampaian lebih berkesan serta mudah diadaptasi di sekolah-sekolah," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu ketika ditemui selepas menyampaikan syarahan kebangsaan di Pusat Konvensyen MBSA pada Jumaat.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM11 juta bagi melaksanakan PTRS 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 160,000 pelajar.
Program tuisyen secara percuma itu memfokuskan bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan bagi pelajar tingkatan empat dan lima dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) atau prestasi pelajarannya sederhana atau lemah.
Amirudin sementara itu memberitahu, inisiatif tersebut selaras dengan fokus Selangor untuk mendepani perkembangan teknologi digital dan memastikan generasi muda lebih bersedia menghadapi cabaran dunia moden.
Justeru pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor untuk pelaksanaan kaedah pembelajaran teknologi tersebut dalam tempoh terdekat.









Comments