top of page

Tuisyen percuma, sasar lahirkan anak FELDA Ulu Tebrau ke Oxford, Harvard

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read
Dr Maszlee bertekad lahirkan anak peneroka mampu melanjutkan pendidikan ke universiti terbaik dunia
Dr Maszlee bertekad lahirkan anak peneroka mampu melanjutkan pendidikan ke universiti terbaik dunia

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berhasrat melahirkan lebih ramai anak Felda Ulu Tebrau yang mampu melanjutkan pengajian ke universiti bertaraf dunia seperti Oxford dan Harvard menerusi penekanan terhadap pendidikan serta penguasaan bahasa Inggeris.


Beliau berkata, aspirasi itu bukan sekadar angan-angan, sebaliknya akan disokong dengan pelbagai inisiatif pendidikan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


"Saya mahu anak-anak Felda Ulu Tebrau boleh berbahasa Inggeris dengan baik supaya mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.


"Satu hari nanti saya berharap akan ada anak Felda Ulu Tebrau yang belajar di Oxford, bercakap di Oxford Union, malah melanjutkan pengajian di Harvard dan universiti-universiti terbaik dunia," katanya ketika berucap pada program Dialog Belia Johor di Felda Ulu Tebrau, semalam.


Bagi merealisasikan hasrat itu, Dr Maszlee mengumumkan beliau akan memperkenalkan program tuisyen percuma untuk pelajar sekolah di DUN Puteri Wangsa selain menyediakan kelas bahasa Inggeris percuma khusus kepada seluruh warga Felda Ulu Tebrau.


Menurutnya, pelaburan dalam pendidikan merupakan asas paling penting bagi meningkatkan mobiliti sosial serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.


"Kita mahu anak-anak menjadi insan berilmu dan berpelajaran supaya mereka mampu mengubah masa depan keluarga serta mengangkat nama Felda Ulu Tebrau ke peringkat lebih tinggi," katanya.


Dr Maszlee berkata, komitmen terhadap pembangunan pendidikan bukan sesuatu yang baharu kerana ketika menjadi Ahli Parlimen Simpang Renggam sebelum ini, beliau berjaya membawa institusi pengajian tinggi dan latihan kemahiran ke kawasan berkenaan.


Antara usaha yang dilaksanakan ialah membawa Open University Malaysia (OUM) serta Kolej Komuniti ke Simpang Renggam bagi memperluaskan akses pendidikan tinggi dan latihan kemahiran kepada penduduk setempat.


Beliau berkata, pengalaman tersebut membuktikan pembangunan sesebuah kawasan bukan hanya bergantung kepada projek fizikal, sebaliknya turut memerlukan pelaburan dalam pembangunan modal insan.


Dalam pada itu, Dr Maszlee berkata beliau akan menggunakan pengalaman serta hubungan baik dengan kepimpinan Kerajaan MADANI bagi membantu menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi penduduk Puteri Wangsa.


"Saya akan mendengar setiap masalah rakyat dan kita selesaikan bersama berdasarkan pengalaman yang saya ada serta hubungan terus dengan Perdana Menteri.


"Berikan peluang kepada saya, insya-Allah saya akan gunakan tenaga, pengalaman dan segala kemampuan yang ada untuk membangunkan Felda Ulu Tebrau serta mengangkat martabat seluruh warganya," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page