top of page

Tugas wakil rakyat membantu sedaya mungkin selesaikan masalah

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
11 hours ago
2 min read
DS Fahmi (kanan sekali) bersembang santai sebagai tetamu bual bicara khas Kerusi Biru ditemani ADN Syed Ahmad (Altimet, kiri sekali dan Showkat Ali sebagai pengacara
DS Fahmi (kanan sekali) bersembang santai sebagai tetamu bual bicara khas Kerusi Biru ditemani ADN Syed Ahmad (Altimet, kiri sekali dan Showkat Ali sebagai pengacara

Anggapan bahawa wakil rakyat mengetahui semua perkara dan boleh menyelesaikan setiap masalah rakyat bukanlah sesuatu yang semudah disangka, kata Datuk Seri Fahmi Fadzil.


Menteri Komunikasi itu berkata, masyarakat lazimnya melihat wakil rakyat sebagai individu yang memahami selok-belok sistem dan mempunyai saluran untuk membantu mereka mendapatkan penyelesaian terhadap sesuatu masalah.


Bagaimanapun katanya, peranan itu bukan bermaksud wakil rakyat boleh memintas sesuatu prosedur, sebaliknya membantu menunjukkan saluran yang betul supaya rakyat tahu pihak mana yang perlu ditemui.


"Saya sudah faham satu perkara iaitu rakyat merasakan sistem tidak membantu (mereka) dan wakil rakyat adalah orang yang sepatutnya faham sistem berkenaan.


"(Sebenarnya) wakil rakyat ada cara dengan sekurang-kurangnya menunjukkan kepada mereka saluran mana yang patut dituju, tapi bukan dengan memotong giliran.


"Sebagai menteri, saya (juga) nampak orang merasakan yang saya mempunyai kuasa. Ada yang datang nak masuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), ada yang datang nak bincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).


"Setakat ini, saya tak ada keluarkan satu (pun) surat sokongan untuk memilih sesiapa. Jadi benda itu untuk setengah orang dia akan kecewa, tapi pada saya, itu bukan cara saya," katanya.


Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara Kerusi Biru yang disiarkan di platform Youtube KEADILAN.


Menceritakan lebih lanjut, Fahmi berkata perkara paling sukar baginya adalah menjelaskan kepada rakyat bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah mereka.


"Orang datang dengan penuh harapan, tapi saya tak nak menghampakan mereka. Setidak-tidaknya saya kata kena bincang dengan orang sepatutnya.


"Saya tak boleh janji masalah itu akan selesai, tapi saya akan bantu sampai ke tahap itu. Masalah paling rumit ialah melibatkan tanah pusaka.


"Dalam banyak tugasan, saya tak masuk campur tentang isu peribadi seperti pernikahan atau penceraian, tapi saya juga ada pasukan yang cuba uruskan (masalah itu). Kalau boleh jangan robohkan masjid yang telah dibina," ujarnya lagi.


Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyifatkan tugas sebagai wakil rakyat, khususnya menteri, ibarat bekerja di jabatan kecemasan hospital yang setiap hari berdepan kes baharu tanpa mengetahui apa yang bakal dihadapi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page