Tubuh unit veteran Reformis di semua Cabang KEADILAN - Anwar
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar setiap cabang KEADILAN menubuhkan Unit Veteran Reformis sebagai langkah menghimpunkan kekuatan dan pengalaman golongan pejuang lama parti bagi terus memacu agenda perubahan negara.
Menurut beliau, unit tersebut berperanan mengumpulkan tenaga “Otai Reformis” di peringkat cabang agar mereka dapat bekerjasama secara tersusun, sekali gus memperkukuh hubungan antara pimpinan parti, akar umbi dan generasi baharu.
"Saya beritahu kepada Mustafa (Mustapa Mansor, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM)) dan Amir (Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor) tadi, setiap cabang harus ada unit veteran.
"Unit ini dapat mengumpulkan semua tenaga Otai, bekerjasama dan berkumpul di cabang. Barulah kita boleh bawa perubahan," katanya pada Program Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang hari ini.
Anwar menegaskan bahawa penubuhan unit berkenaan juga bertujuan menghargai jasa serta pengorbanan veteran parti yang telah melalui fasa perjuangan sukar sejak awal penubuhan KEADILAN, termasuk mereka yang kini uzur.
"Orang yang kuat dulu, ada yang datang dengan kerusi roda, ada yang bertongkat. Kita mesti ingat jasa mereka dan beri ruang untuk mereka menyampaikan pandangan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Unit Veteran Reformis juga boleh berperanan sebagai wadah menyampaikan mesej perjuangan merentasi kaum, khususnya dalam mendepani sentimen perkauman yang masih sering dibangkitkan dalam wacana politik negara.
"Kita masih berhadapan dengan pelbagai masalah. Apa sahaja kita buat, ada yang bangkitkan soal kaum. Sebab itu kita ajak Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak bawa isu masing-masing, tetapi lihat dalam kerangka besar Malaysia," katanya.
Menurut Anwar, kefahaman terhadap kerangka nasional yang lebih luas adalah penting bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan masa depan negara terus terpelihara.
Sehubungan itu, beliau menyeru pimpinan parti di semua peringkat, termasuk menteri dan timbalan menteri, agar memberi perhatian serius terhadap kebajikan serta permasalahan yang dihadapi oleh veteran Reformis.
"Sebaiknya kita kumpulkan mereka sebagai satu kekuatan supaya hubungan kita lebih baik," katanya lagi.





