top of page

Tubuh unit khas benteras pornografi kanak-kanak dipuji



Kumpulan hak asasi wanita menyambut baik pengumuman Perdana Menteri (PM) berhubung penubuhan unit khas polis bagi membenteras jenayah pornografi kanak-kanak.


Pengarah Program Women’s Centre of Change (WCC) Karen Lai, berkata langkah yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu itu menunjukkan keseriusan pentadbiran beliau menangani jenayah tersebut.


"Antara 2017 dan 2021, lebih 94,000 aduan diterima polis berkaitan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dalam talian.


"Dilaporkan, polis menjangkakan lebih banyak jenayah seumpama itu berlaku, terutama membabitkan serangan seksual bukan fizikal seperti gambar dan video tidak sopan," katanya dipetik FMT.


PM ketika mengumumkan penubuhan unit khas tersebut berkata, ia akan diletakkan di bawah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11).


Pasukan berkenaan akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terlibat.


Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.


Sebagai rekod, pada Mei tahun lalu, Ketua Penolong Pengarah D11 Siti Kamsiah Hassan, berkata antara 2017 dan Mac 2022, 93,368 protokol internet (IP) beralamat di negara ini telah disyaki terlibat pornografi kanak-kanak.


Namun kerana kekurangan anggota terlatih menapis dan meneliti maklumat diterima, hanya 103 alamat IP diperiksa membawa penahanan 50 individu.


Sementara itu, Pengurus Kanan Program All Women’s Action Society, Lilian Kok dipetik laporan sama berkata pembentukan unit khas memang diperlukan bagi memerangi jenayah siber.


Justeru pihaknya berharap peruntukan tambahan berterusan bagi menambah baik usaha D11 mengekang jenayah siber dilaksana dengan memberi penekanan prosedur sejajar diamalkan di peringkat antarabangsa.


Walau bagaimanapun jelasnya, perlu juga diperjelaskan mengenai apa berlaku kepada peruntukan RM13 juta kepada D11 daripada Belanjawan tahun lalu yang diperuntuk bagi menambah 100 pegawai menangani jenayah seksual kanak-kanak.


"Ini penting bagi kita memahami apa sudah dilakukan melalui peruntukan dana terdahulu dalam usaha memperkasa sumber bagi D11," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page