
Situasi jangkitan harian Covid 19 terus memburuk biar pun kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 atau lockdown.
Menangani keadaan getir itu, mantan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye menggesa kerajaan supaya segera menubuhkan pasukan khas menangani jangkitan Covid 19 dengan melantik ribuan petugas kesihatan baharu.
Katanya, pasukan tersebut boleh melakukan unjian saringan Covid 19 secara bersar-besaran, beberapa ratus ribu hingga sejuta orang sehari.
"Sekiranya setiap kontak rapat dapat dikenal pasti, diuji dan diasingkan dalam masa 48 jam, penularan berterusan akan disekat.
"Saya pernah mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membina satu pasukan Covid -19 diseluruh negara dengan pengambilan petugas baru sejak 16 bulan yang lalu.
"Malangnya ia tidak terlaksana. Di saat ini, pengesanan kontak sukar dilaksanakan kerana penularan virus terlalu meluas dalam komuniti," katanya kepada Suara Keadilan.
Tambah beliau, kegagalan membina kapasiti untuk 'mass testing' hingga sejuta saringan setiap hari menyebabkan kes tidak dapat dikenal pasti dan diasingkan secepat mungkin.
"Kapasiti sekarang sekadar 150,000 - 200,000 setiap hari (tidak memadai)," katanya.
Jelas Dr Lee lagi, kegagalan serius kerajaan menangani Covid ketika ini adalah kerana pelaksanaan produser operasi standard (SOP) tidak jelas, tidak konsisten dan selalu berpusing pusing.
Sementara itu, katanya, ubatan baharu yang dicadangkan oleh komuniti perubatan luar negara seperti penggunaan Ivermectin masih belum teruji keberkesanannya di Malaysia.
Oleh itu, menurut Dr Lee, Kementerian Kesihatan sehingga kini kekal dengan dua jenis rawatan yang terbukti berkesan mengurangkan kematian akibat jangkitan Covid 19, iaitu oksigen dan steroid.
Comments