top of page

Pembongkaran 880 ribu bahan CSAM serius: Perluas kawalan, pendidikan digital

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 minute ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Pendedahan mengejutkan melibatkan lebih 880,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) baru-baru ini sebagaimana didedah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuktikan jenayah siber itu telah berleluasa dalam tempoh yang lama tanpa disedari masyarakat, kata Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh (gambar).


Katanya jumlah besar yang ditemui dalam operasi tersebut menunjukkan betapa seriusnya ancaman CSAM di negara ini, sekaligus menuntut pendekatan baharu yang lebih menyeluruh untuk melindungi kanak-kanak.


"Memang sangat mengejutkan. Mungkin kerana sebelum ini tiada operasi sebesar ini. Selama ini kita tak sedar.


"Kini kita lihat ada kesungguhan kerajaan dan PDRM menguatkuasakan undang-undang, sambil kita kaji kaedah baharu untuk mengekang kes ini daripada berterusan," kata Syed Ibrahim kepada Suara Keadilan.


Beliau menekankan pendidikan digital untuk ibu bapa merupakan elemen paling kritikal dalam membendung risiko CSAM dan jenayah siber yang menyasarkan kanak-kanak.


Ini kerana ada di kalangan ibu bapa dan penjaga yang tidak memahami ancaman digital, menyebabkan mereka tidak mampu membimbing atau melindungi anak-anak secara efektif.


"Kalau kita ambil tindakan kepada kanak-kanak sahaja pun tak cukup. Mesti ada sasaran khusus kepada ibu bapa," tegasnya.


Mengulas cadangan mengehadkan penggunaan media sosial bagi individu 16 tahun ke bawah, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, langkah itu mendapat sokongan kerana ia sebahagian daripada strategi mencegah eksploitasi kanak-kanak di ruang digital.


Namun beliau menegaskan keperluan menyeimbangkan kawalan dengan ruang kebebasan media sosial untuk tujuan positif.


"Kawalan perlu ada, tapi jangan sampai menyekat sepenuhnya. Media sosial juga menggalakkan ekonomi digital dan memberi banyak manfaat. Yang penting ada panduan, akta dan peraturan yang jelas.


"Tanggungjawab ibubapa tak boleh lari. Pemantauan mesti berterusan terutama bagi anak 17 hingga 18 tahun ke bawah," jelasnya.


Beliau menambah, dalam program Jelajah Saya Digital yang pernah dijalankan MDEC, pelbagai aspek literasi digital ditekankan, termasuk keselamatan digital, pengenalan scam, penggunaan platform kewangan digital, serta konsep ‘celik digital keluarga’.


"Selain J-KOM, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital, sekolah serta komuniti mesti terlibat. Literasi digital keluarga adalah tunjang kepada keselamatan anak di media sosial.


"Program pendidikan digital harus diperkukuh dan diperluaskan supaya masyarakat benar-benar memahami risiko CSAM serta kepentingan melaporkan aktiviti mencurigakan," ujarnya lanjut.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page