top of page

Tubuh panel pemilih penjawat awam pelbagai kaum - Abun Sui

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 14, 2023
  • 2 min read


Jabatan kerajaan disarankan untuk menubuhkan panel pemilih penjawat awam dan kenaikan pangkat yang dianggotai pelbagai kaum terutama dalam situasi di Sabah dan Sarawak.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Abun Sui Anyit dalam satu kenyataan berkata langkah itu boleh menjadi mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan komposisi kaum dalam perkhidmatan awam dengan cara mewujudkan sistem kuota yang adil dan saksama.


"Ini dapat membaiki ketidakseimbangan dengan syarat pembuat keputusan dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam benar-benar melaksanakan dasar kerajaan sama ada secara mengikut kuota atau mengikut merit," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi KEADILAN Sarawak.


Cadangan itu dilontarkannya susulan pandangan Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini agar penjawat awam di negara ini diambil mengikut kuota etnik bagi menggalakkan lebih ramai rakyat berkhidmat dalam perkhidmatan awam.


"Cadangan Nanta itu adalah satu saranan baik kerana negara ini terutama Sarawak terdapat pelbagai etnik atau kaum. Semua kaum sekarang hampir sama pencapaian tahap pendidikan dan kelayakan.


"Banyak aduan diterima apabila mereka yang ditemuduga dalam keputusan peperiksaan dan temuduga diketepikan begitu sahaja walaupun lebih cemerlang.


"Mungkin ada segelintir panel pembuat keputusan yang masih mengamalkan “perkauman” dalam memilih dan melantik kakitangan baru dalam kerajaan atau kenaikan pangkat, sehinggalah pecahan kaum-kaum kakitangan kerajaan kelihatan tidak seimbang," jelasnya.


Beliau sementara itu turut menegaskan bahawa cadangan berkenaan sepatutnya telah diamalkan sejak awal pembentukan Malaysia.


Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jelasnya telah bersetuju antara lain “Borneonisasi” di dalam MA63 iaitu semua jabatan persekutuan di Malaysia yang terdapat di Sabah dan Sarawak harus diketuai oleh anak anak watan dari Borneo.


"Walau pun ini sudah termaktub di dalam MA63, tidak juga ianya mencapai tahap kepuasan yang diinginkan


"Sebenarnya sistem kuota tidak perlu diperkenalkan jika pembuat keputusan yang mengambil penjawat-penjawat awam dalam sektor kerajaan mengamalkan pengambilan secara merit yang dalam erti kata merit yang sebenarnya," tegas Abun Sui lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page