top of page

Tubuh Ombudsman petunjuk kerajaan serius kukuh integriti sektor awam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggariskan beberapa prasyarat utama yang wajar dijadikan dasar kepada pembentukan undang-undang Ombudsman Malaysia bagi menjamin keberkesanannya.


Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, beberapa syarat itu adalah seperti pelantikan Ombudsman mestilah melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan bukan pelantikan eksekutif semata-mata.


Selain itu katanya, laporan dan hasil penyiasatan Ombudsman wajib dibentang kepada Parlimen serta boleh diakses rakyat.


"Kuasa Ombudsman juga mestilah membolehkan syor wajib tindakan kepada kementerian dan agensi kerajaan.


"Ombudsman wajib melindungi pemberi maklumat secara menyeluruh termasuk aduan berkaitan penyalahgunaan kuasa pentadbiran.


"Terakhir, pegawai Ombudsman mesti dilindungi daripada campur tangan politik, tindakan balas atau ugutan," katanya dalam satu kenyataan.


Jais berkata, pihaknya percaya Ombudsman akan memainkan peranan sebagai penyemak kuasa pentadbiran yang bebas dan menjadi jambatan antara suara rakyat dan integriti kerajaan, selaras dengan usaha reformasi nasional.


Semalam, Kerajaan Madani bersetuju menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat lebih menyeluruh merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa perkara itu merupakan antara persetujuan penting yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 yang beliau pengerusikan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.


Bagi Jais pula, Ombudsman bukanlah pesaing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi pelengkap penting dalam menutup jurang integriti yang tidak dipantau selama ini.


Dengan syarat kebebasan, ketelusan dan kuasa yang mencukupi, beliau menyifatkan Ombudsman Malaysia akan menjadi simbol kesediaan negara menegakkan tadbir urus yang bersih, responsif dan berakauntabiliti kepada rakyat.


"Ombudsman berbeza daripada agensi penguatkuasaan kerana bidang kuasanya tertumpu kepada penyiasatan kegagalan pentadbiran, kecuaian, ketidakcekapan, penyalahgunaan budi bicara dan kelewatan perkhidmatan awam, iaitu isu yang selama ini menjejaskan kehidupan rakyat tetapi tidak dikategorikan sebagai jenayah rasuah.


"Selama ini, aduan rakyat mengenai kelewatan projek, prosedur yang rumit, layanan tidak profesional, kegagalan memantau kontraktor, atau kecuaian dalam melaksanakan asas perkhidmatan awam sering terpinggir kerana tidak mempunyai saluran berkuasa khusus di luar sistem aduan dalaman jabatan.


"Ombudsman akan mengisi jurang tersebut dan memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan, bukan hanya isu jenayah.


"Kami juga melihat penubuhan Ombudsman sebagai petunjuk keseriusan negara memperkukuh integriti sektor awam dan berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur serta skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia melalui peningkatan mekanisme akauntabiliti dan ketelusan operasi kerajaan," ujar beliau yang menyambut baik penubuhan Ombudsman sebagai agensi pusat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page