Tubuh Kementerian PKS, perkasakan perusahaan kecil - Chean Chung
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Kerajaan digesa mempertimbangkan penubuhan Kementerian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang khusus dalam rombakan Kabinet akan datang bagi memastikan suara jutaan perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia didengari secara lebih tegas dan sistematik.
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (gambar), kementerian itu amat relevan diwujudkan biarpun beliau memuji pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang mengecualikan syarikat PKS berpendapatan tahunan di bawah RM1 juta daripada pelaksanaan e-invois.
"PKS bukan sahaja banyak tetapi tulang belakang ekonomi. Hampir separuh daripada pekerjaan di Malaysia bergantung kepada PKS, menjadikannya pusat kepada kestabilan pekerjaan, mata pencarian dan pertumbuhan inklusif.
"Pada 2024, PKS di Malaysia menyumbang 39.5% (RM652 bilion) daripada jumlah KDNK negara dan menggaji kira-kira 8.1 juta orang, yang bersamaan dengan kira-kira 50% daripada jumlah pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Chean Chung, kadar pertumbuhan PKS pada 2024, 5.8%, telah mengatasi bukan PKS (4.7%) dan pertumbuhan keseluruhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar KDNK sebanyak 5.1%. Angka tersebut, katanya, menunjukkan potensi besar PKS untuk memacu perkembangan ekonomi masa depan.
Namun, beliau menegaskan bahawa pengabaian dasar dan sokongan yang tidak konsisten sejak dahulu menyebabkan banyak PKS merasakan kerajaan tidak memberi perhatian yang cukup kepada pembinaan kapasiti serta daya saing mereka.
Beliau turut menyentuh kesan tarif perdagangan Amerika Syarikat serta persaingan agresif syarikat China yang menekan pasaran tempatan.
"Kesan daripada tarif perdagangan AS, serta pengembangan agresif perniagaan China di Malaysia, menjadikan usaha niaga mereka lebih tidak menentu dan terdedah kepada risiko global.
"Ini mengecewakan, lebih-lebih lagi apabila mereka diminta untuk mematuhi lapisan birokrasi yang semakin meningkat yang tidak menjadikan mereka lebih produktif atau berdaya saing," katanya.
Beliau memberi contoh prosedur rumit melibatkan lima agensi berasingan setiap kali syarikat mengambil atau melepaskan seorang pekerja—LHDN, KWSP, PCB, PERKESO dan CP22A—yang membebankan syarikat kecil dari segi masa dan kos pentadbiran.
Sehubungan itu, Chean Chung mengulangi pendiriannya agar seorang Menteri yang bertanggungjawab ke atas PKS dilantik, dan semua jabatan serta agensi berkaitan PKS yang kini berselerak di bawah KUSKOP, MITI, KKDW, KPDN dan Bank Negara disatukan di bawah satu kementerian.
"Hanya dengan itu pengabaian sejarah terhadap PKS boleh diperbetulkan secara sistematik, dan barulah berjuta-juta perusahaan biasa akhirnya dapat bersuara dalam Kabinet," jelasnya.
Chean Chung menambah bahawa langkah tersebut akan menjadi bukti jelas bahawa Kerajaan MADANI benar-benar mengambil kira keluhan dan bantahan PKS terhadap beban pentadbiran serta tekanan ekonomi masa kini.
"Jika ada satu perkara (terbaik) yang boleh dilakukan Perdana Menteri untuk menunjukkan komitmen kepada perusahaan kecil, (langkah itu) mewujudkan Kementerian PKS dalam rombakan kabinet akan datang, satu langkah pertama dan merupakan langkah yang perlu," kata beliau lagi.





