Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin digesa segera membuka Parlimen sesuai dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu tanpa banyak berdolak dalik
Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul berkata, 'kata kunci' daripada Agong adalah buka sidang, maka hal itu haruslah dilaksanakan dengan apa cara sekali pun.
"Tidak perlu apa-apa jawatankuasa pun. Yang pertama mendengar titah Tuanku, analisis betul-betul. Kata kunci di situ adalah segera buka Parlimen.
"Untuk buka Parlimen maka rujuklah kepada peraturan sedia ada, iaitu standing orders yang diguna pakai. Ada ruang untuk mengadakan persidangan dalam keadaan yang memerlukan tidak semestinya mengikut peraturan keadaan normal.
"Jadi saya minta, Speaker pun tahu ada peruntukan dalam keadaan luar biasa seperti sekarang ini. Kerajaan atau ketua majlis (mesyuarat) dalam kes ini adalah PM, (boleh) panggil persidangan (awal sekali pun), tak ikut peraturan dan waktu yang ada," katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin berkata sebuah jawatankuasa perlu dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.
Katanya, jawatankuasa itu akan mengambil kira sama ada persidangan Parlimen boleh dibuat secara fizikal atau secara hibrid.
Menurut Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani itu lagi, sekiranya kerajaan perlu mengkaji kaedah yang sesuai maka perkara tersebut boleh dilakukan dalam masa singkat dengan mengambil contoh Parlimen di negara lain yang pernah bersidang secara atas talian dan sebagainya.
"Kita boleh buat secara hibrid dan macam-macam cara nak buat. Persoalannya sekarang, nak buat atau tak buat sahaja," katanya lagi.
Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan membuka Parlimen sesegera yang mungkin, dalam bulan Julai.
Majlis Presiden PH juga menganggap amat penting Parlimen dibuka untuk membahaskan ordinan-ordinan yang dibuat sepanjang pemerintahan Darurat.
コメント