'Trend semasa tiada satu gabungan cukup kuat bentuk kerajaan'
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) disifatkan kekal sebagai kuasa politik besar negara sejak 2008 apabila gabungan itu tidak pernah memperoleh kurang daripada 80 kerusi Parlimen, sekali gus menggambarkan era satu parti atau gabungan membentuk kerajaan secara bersendirian semakin berakhir.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, ketika PH menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN), gabungan itu tidak pernah memperoleh kurang daripada 80 kerusi Parlimen daripada keseluruhan 222 kerusi dipertandingkan dalam setiap PRU berikutnya termasuk pada 2013, 2018 dan 2022.
"Bermaksud PH ialah satu kuasa politik besar dalam landskap politik negara yang perlu diiktiraf kekuatannya. Sejak 2008 (lagi), tak pernah kurang (daripda) 80 kerusi.
"Kedua, era politik di mana satu parti tunggal atau gabungan politik boleh menguasai majoriti dan membentuk kerajaan sendiri, era itu (dilihat) sudah tak nampak berlaku lagi.
"Dalam suasana ini, politik yang berasaskan kepada ‘us vs them’ barangkali kena ditukar kepada ‘we are all together’.
"Pendekatan politik ketika ini dengan landskap politik sebegitu mungkin sedikit sebanyak perlu dilakukan anjakan politik," katanya yang berharap koalisi politik akan lebih utuh selepas ini tanpa melalui pelbagai polemik atau percakaran.
Beliau berkata demikian dalam Ceramah Perdana Pimpinan Utama PH yang diadakan di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Ceramah yang bertemakan ‘Memperkukuh Perpaduan, Membina Keyakinan Rakyat’ itu menampilkan pimpinan tertinggi PH termasuk Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Hadir sama, Ketua Wanita PH, Aiman Athirah Sabu dan Timbalan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abdul Rahman.




Comments