top of page

Transformasi komuniti PPR: Perluas program K2K - Dr Wan Azizah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 29
  • 2 min read

DS Dr Wan Azizah meraikan kejayaan pelajar 8A dan 5A peperiksaan SPM di PPR Taman Mulia
DS Dr Wan Azizah meraikan kejayaan pelajar 8A dan 5A peperiksaan SPM di PPR Taman Mulia

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyeru agar Program Kita-Untuk-Kita (K2K) terus disokong dan diperluaskan bagi memanfaatkan lebih ramai penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negara ini.


Beliau berkata, program yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April tahun lalu itu terbukti menjadi wahana penting dalam memperkasa komuniti PPR secara menyeluruh, merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan keluarga dan kesejahteraan hidup.


"Program ini melibatkan empat komponen utama iaitu pemerkasaan komuniti, pengurusan bersama perumahan awam, peningkatan ekonomi dan pendapatan, serta advokasi dan pembaharuan dasar.


"Melalui strategi ini, lebih 50,000 penduduk di Lembah Klang kini terlibat dalam gelombang transformasi yang menjadikan komuniti mereka lebih berdaya tahan dan lestari," katanya dipetik.


Beliau berucap demikian pada Majlis Meraikan Kecemerlangan Pelajar SPM PPR Taman Mulia, semalam.


Majlis itu turut meraikan kejayaan pelajar yang memperoleh 8A dan 5A dengan Anugerah Pelajar Cemerlang, selain Anugerah Motivasi, Komitmen dan Setiakawan kepada tiga pelajar lain. Empat guru pula menerima Anugerah Pendidik, manakala seorang penduduk dianugerahkan Penggerak Komuniti.


Turut hadir, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Pengarah Program K2K Dr Shahridan Faiez.


Dalam pada itu, Dr Wan Azizah memuji usaha komuniti PPR Taman Mulia yang memanfaatkan Geran Komuniti K2K untuk melaksanakan Projek Tuisyen SPM Percuma. Sebanyak 48 sesi kelas subjek teras telah diadakan, menyaksikan lima pelajar berjaya memperoleh keputusan 8A, manakala tiga lagi mendapat 5A.


"Ini satu pencapaian luar biasa, namun tidak terhenti di sini. Geran Komuniti K2K sebenarnya telah menyokong 39 projek komuniti di 10 kawasan perumahan awam di Lembah Klang, membabitkan lebih RM1 juta," jelasnya.


Katanya, projek-projek tersebut merangkumi bidang pendidikan, kesihatan keluarga, keselamatan, kebersihan, budaya dan sukan — yang memberi kesan langsung kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat PPR.


"Inilah bukti kerajaan pimpinan perdana menteri yang sentiasa mengutamakan agenda membantu komuniti miskin kota untuk bangkit, demi masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang," tambah beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page